Nelayan hilang ketika keluar mencandat sotong ditemukan lemas

Nelayan hilang ketika keluar mencandat sotong ditemukan lemas

KUANTAN: “Ini kali kedua ayah terjatuh dari bot  ketika keluar ke laut namun kali pertama dia berjaya menyelamatkan diri,” kata Muhammad Izru Hisyam Mohd. Ishak, 30, anak kepada nelayan, Mohd. Ishak Ismail, 63, yang ditemukan lemas di Pantai Lagenda, Pekan, petang tadi.

Mayat warga emas itu ditemukan terdampar di pantai berkenaan kira-kira-kira pukul 6.30 petang oleh orang awam iaitu kira-kira 32 Kilometer dari Pantai Sepat yang merupakan lokasi bot gentian kaca milik mangsa dijumpai.

Muhammad Izru berkata, ahli keluarganya tidak putus berdoa supaya mayat bapa ditemukan dan mereka reda dengan apa sahaja ketentuan.

“Setiap hari sejak bot ayah ditemukan di tepi pantai ini (Pantai Sepat), kami sekeluarga menunggu di sini sehingga malam malah menyewa rumah inap berhampiran kerana jauh untuk berulang alik dari rumah.

“Sebelum ini, jemaah masjid di sini juga ada mengadakan solat hajat supaya ayah segera ditemui,” katanya yang tinggal di Beserah, di sini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancar sejak tiga hari lalu dihentikan sepenuhnya.

Operasi turut disertai agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Scroll to Top