Nelayan Indonesia ditahan bersama dadah diperoleh dari Malaysia

Nelayan Indonesia ditahan bersama dadah diperoleh dari Malaysia

Medan: Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang nelayan yang membawa 10 kilogram dadah jenis methamphetamine didakwa diperoleh dari perairan Malaysia.

Memetik lapor Kompas semalam, lelaki dikenali Erwin, 42, itu ditahan di atas botnya di perairan Asahan, Sumatera Utara, kira-kira jam 6 pagi, 1 Jun lalu.

Ketua Jabatan Narkotik Wilayah Sumatera Utara, Senior Komisioner Polis Andy Arisandi berkata, suspek ditahan susulan maklumat risikan diterima berhubung bot yang disyaki membawa barang terlarang dari Malaysia.

Polis Wilayah Sumatera Utara kemudian melancarkan operasi bersepadu bersama Unit Siasatan Narkotik Polis Tanjung Balai dan Unit Rondaan Laut Kastam Indonesia yang berpangkalan di Teluk Nibung.

“Kira-kira jam 6 pagi, pasukan mengesan sebuah bot kalok dengan ciri-ciri seperti yang dinyatakan oleh pemberi maklumat dalam keadaan mencurigakan, sebelum bertindak menahan dan melakukan pemeriksaan,” kata Andy dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin.

Hasil pemeriksaan menemui satu guni plastik berwarna putih biru mengandungi 10 bungkus teh Cina berwarna merah berisi kristal methamphetamine seberat 10,000 gram atau 10kg.

“Apabila disoal siasat, suspek mengaku menerima barangan narkotik itu di kawasan perairan sempadan Malaysia daripada seorang warga Malaysia yang identitinya masih dalam siasatan,” katanya.

Mengikut rancangan suspek mendakwa dadah itu akan diserahkan kepada seorang individu tidak dikenali yang sedang menunggu di tempat bot berlabuh di Asahan.

Polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket dadah membabitkan suspek yang kini dalam tahanan reman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top