am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Seorang nelayan warga emas berusia 77 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam laut di limbungan Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit, Pegawai Bomba (PB) Roger Ribut berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa lelaki pada jam 1.51 petang tadi.
Menurutnya, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, polis memaklumkan terdapat seorang nelayan tempatan terjatuh ke dalam laut ketika memasang jaring.
“Polis menjumpai barang peribadi dan bot mangsa dalam keadaan enjin masih hidup dan hanyut sehingga ke persisiran berhampiran kapal kuari di limbungan berkenaan.
“PKO kemudian bertindak membuat pencarian di sekitar menggunakan bot dan dron serta pencarian di persisiran pantai.
“Pada jam 7.20 malam, mangsa dijumpai oleh seorang orang awam kira-kira 200 meter dari persisiran pantai,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya beliau, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai kerana lemas sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan jam 7.55 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




