Washington: Pemain golf nombor satu dunia dari Amerika Syarikat, Nelly Korda meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan LPGA yang berasaskan mata, dengan berbaki tiga kejohanan pada musim 2024, menurut kenyataan rasmi LPGA.
Nelly, yang berusia 26 tahun, sudah mencatatkan enam kemenangan pada tahun ini dan meraih tiga lagi kedudukan 10 teratas.
Pada satu ketika, Nelly memenangi lima kejohanan berturut-turut tahun ini, termasuk kejayaannya merangkul gelaran utama kedua.
“Musim ini penuh dengan saat-saat hebat dan penuh cabaran. Saya sangat bersyukur kerana mereka yang berada di sekeliling saya membantu mencapai kejayaan ini.
“Ia adalah usaha sepasukan dan saya bangga dapat berkongsi detik ini dengan mereka,” kata Nelly dalam satu kenyataan.
Nelly yang terlepas pusingan di Asia akibat kecederaan ringan pada leher, juga mewakili Amerika Syarikat dalam pertandingan golf wanita di Sukan Olimpik Paris dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Solheim.
Sebelum Kejohanan Jepun minggu lalu, hanya Ayaka Furue yang berpeluang mengejar Nelly, tetapi dia perlu memenangi empat kejohanan terakhir musim ini untuk memenangi anugerah itu.
Namun, Ayaka hanya mampu berkongsi kedudukan ke-10 minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




