Nelydia, Aprena kongsi rasa dan cerita sama

Nelydia, Aprena kongsi rasa dan cerita sama

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Nelydia Senrose tampil memberikan respon mengenai hantaran yang dimuat naik sepupunya yang juga pelakon, Aprena Manrose di Threads baru-baru ini mengenai perjalanan mereka dalam menantikan kehadiran zuriat.

Nelydia atau nama sebenar Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 32, berkata, memandangkan mereka berdua mendirikan rumah tangga dalam tempoh yang hampir sama, mereka sering berkongsi rasa dan cerita mengenai usaha untuk mendapatkan cahaya mata.

“Apabila saya dan dia (Aprena) sudah berkahwin, kami sama-sama menantikan kehadiran zuriat. Kami sama-sama dalam perjalanan yang sama, itu sebenarnya maksud hantaran yang dibuat Aprena.

“Tahun pertama tidak dapat (anak), tahun kedua pun masih sama. Jadi kami sering bercakap mengenainya, tentang kesihatan dan apa yang perlu kami lakukan lagi.

“Selama ini kami ada topik yang sama untuk berbual dan Alhamdulillah, dah sampai masa Allah berikan saya keizinan untuk merasa kehamilan ini.

“Jadi saya faham perasaan dia. Dan pasal perjalanan TTC (trying to conceive/ cuba untuk hamil) itu, mungkin dia bermaksud tentang harapan kami sebelum ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon drama Khilaf Asrama ini tidak pernah putus berdoa agar urusan sepupunya itu serta wanita-wanita di luar sana yang masih menanti zuriat agar dipermudahkan.

“Saya sentiasa mendoakan, bukan untuk dia (Aprena) sahaja tetapi untuk semua yang masih menantikan cahaya mata. Saya tahu bagaimana rasanya setiap pasangan yang mahukan cahaya mata sendiri.

“Mungkin salah satu asbab (kehamilan) ini juga adalah kerana apabila kita mendoakan orang lain, Malaikat akan mendoakan kita kembali.

“Kita sentiasa doakan orang lain, mana tahu selepas ini giliran mereka pula sampai,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nelydia berkongsi perkhabaran gembira menerusi Instagramnya tentang dirinya yang hamil anak pertama selepas tujuh tahun berkahwin.

Aprena kemudian berkongsi luahan perasaannya mengenai perjalanan untuk menimang cahaya mata bersama Nelydia dan pernah melalui proses TTC namun sehingga kini Aprena masih belum mempunyai rezeki untuk menimang zuriat sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top