bhnews@bh.com.my
BUTTERWORTH: Amalan berpuasa sekali seminggu dan pemakanan sihat dengan pengambilan herba antara petua diamalkan seorang wanita berusia 110 tahun.
A Annamah mempertahankan rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai wanita tertua di negara ini.
Bukan itu sahaja, ingatan Annamah juga masih kuat apabila mampu mengecam individu yang pernah mendapat khidmatnya ketika dia menjadi bidan suatu ketika dahulu.
Anak lelakinya, M Subramaniam, 73, berkata pada usia muda, ibunya sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat serta mengamalkan memakan herba selain berpuasa seminggu sekali.
“Ibu saya juga seorang yang cergas apabila dia tidak pernah duduk diam ketika kami tinggal di estet dulu.
“Bayangkan setiap kali balik dari kerja dia boleh buat lagi kerja-kerja lain antaranya menanam sayur, bela ayam dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-110 ibunya, di Raja Uda, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, MBOR yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Annamah kerana mempertahankan rekod sebagai wanita tertua di Malaysia sejak tahun lalu.
Subramaniam berkata, ibunya dilahirkan dan dibesarkan di India sebelum berhijrah ke Malaysia bersama keluarga ketika remaja.
Mengulas lanjut mengenai tahap kesihatan ibunya, Subramaniam berkata, ingatan ibunya masih kuat namun tahap pendengaran serta penglihatan wanita itu semakin berkurangan.
“Ibu masih boleh mengecam sesiapa yang pernah mendapat perkhidmatannya dahulu ketika dia menjadi bidan tetapi kudratnya kini sudah tidak seperti lima ke enam tahun lalu.
“Pada ketika itu dia masih boleh berjalan sendiri selain boleh buat macam-macam kerja rumah tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dia lebih banyak duduk di atas kerusi roda,” katanya.
Annamah mempunyai lima anak, 17 cucu serta tujuh cicit.
© New Straits Times Press (M) Bhd