am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Walaupun sudah menjangkau usia emas, namun seorang nenek masih mampu berkawad dengan baik, selain ditugaskan sebagai salah seorang jurulatih di Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Rashidah Yusoff, 62, dari Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, berkata, dia menjadi jurulatih Rela, sejak 25 tahun lalu selepas dua tahun menjadi anggota Rela.
Menurutnya, daripada seorang suri rumah sepenuh masa ketika itu, dia nekad untuk menyertai Rela, kerana terlalu minat dengan aktiviti berkawad.
“Pada 1996, saya menyertai Rela dan mengikuti kursus di Pusat Latihan Rela Wilayah Selatan, sebelum dipilih untuk mengikuti kursus di Akademi Latihan Rela Malaysia (Alam) di Melaka.
“Dalam tempoh 10 tahun, saya menjadi jurulatih di Alam, sebelum dipindahkan ke Pusat Latihan Rela Wilayah Timur (PLRWT),” kata ibu kepada lima cahaya mata dan lapan orang cucu ini.
Menurutnya, dia bertugas sebagai jurulatih di Rela di Wilayah Timur sejak 15 tahun lalu, dan terpaksa berulang-alik dari Terengganu ke Johor, menggunakan perkhidmatan bas ekspres setiap minggu.
Katanya, sekarang, jadual kursus padat dan selepas selesai satu-satu kursus, dia akan mengambil masa pulang ke Johor, untuk menjengah keluarga di sana.
Tambahnya, hanya dua hari saja dia mampu bersama keluarga dan akan kembali ke pusat latihan di Hulu Terengganu, untuk menyambung tugas dan pusat latihan itu sudah dianggap rumah keduanya.
Rashidah berkata, selain berkawad dia juga mampu melakukan aktiviti hutan, abseiling dan flying fox seperti yang termaktub di dalam silibus kursus.
“Kalau ikutkan usia, sememangnya nampak berusia, namun semangat saya masih utuh untuk mencurahkan ilmu kepada pegawai dan anggota Rela.
“Saya akui ada juga rasa sedikit-sedikit sakit lutut berikutan faktor usia namun saya tidak endahkan sangat,” katanya ketika ditemui di PLRWT, dekat Kampung Kemat, di sini.
Menurutnya, keyakinan dalam diri perlu ada kerana ia adalah elemen terpenting dalam mencurahkan ilmu dan sepanjang tempoh 25 tahun bergelar jurulatih, beribu pegawai dan anggota sudah dilatihnya.
Rashidah berkata, pelbagai reaksi pelatih apabila mengetahui seorang nenek masih mampu berkawad dan mengajar mereka berkawad ketika pertama kali menghadiri kursus Rela, di pusat berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
