Nenek didenda RM1,500 beri maklumat palsu daftar kelahiran cucu

Nenek didenda RM1,500 beri maklumat palsu daftar kelahiran cucu

am@hmetro.com.my

Kangar: Seorang nenek didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan identiti ibu kandung sebenar ketika mendaftarkan kelahiran cucunya lapan tahun lalu.

Tertuduh, Tan Kim Lean, 67, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nurul Natasha Rizal.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja dan disedari mengemukakan maklumat palsu dalam butir material semasa membuat permohonan daftar kelahiran atas nama Ragnar Lim Eric Dant.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis, Jalan Seri Sena, di sini, antara jam hingga 4 petang pada 12 Mac 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Malaysia, Azry Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Azira Aziz.

Azira kemudian meminta mahkamah menjatuhkan denda minimum kerana tertuduh tidak bekerja dan mempunyai penyakit darah tinggi serta masalah kolesterol.

“Tertuduh mempunyai lima anak, termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU) fizikal yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ini juga adalah kesalahan pertama tertuduh yang berlaku lapan tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Azry memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai peringatan kepada masyarakat memandangkan kes ini membabitkan dokumen keselamatan kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top