Nenek gengster ‘master mind’ empayar dadah RM458 juta

Nenek gengster ‘master mind’ empayar dadah RM458 juta
Mason (atas dua kanan) mengetuai sindiket dadah tersebut yang disertai ahli keluarga dan teman rapatnya. Foto Agensi

Mason (atas dua kanan) mengetuai sindiket dadah tersebut yang disertai ahli keluarga dan teman rapatnya. Foto Agensi

LONDON – Seorang wanita warga emas digelar ‘nenek gengster’ dijatuhi hukuman penjara 20 tahun selepas didapati menjadi dalang utama dalam sindiket dadah keluarganya.

Tertuduh dikenali sebagai Deborah Mason, 65, yang diberi julukan ‘Queen Bee’ dan ‘Gangsta Debb’ oleh orang terdekat, dikenakan hukuman tersebut bersama tujuh ahli keluarganya di Mahkamah Mahkota Woolwich, London, pada Jumaat lalu.

Secara keseluruhan, jumlah hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Philip Shorrock terhadap kumpulan tersebut atas penglibatan mereka dalam sindiket dadah itu mencecah 106.5 tahun.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa ahli keluarga defendan terlibat dalam mengumpul bungkusan kokain yang diimport, sebelum mengedarkannya ke seluruh London termasuk Bradford, Leicester, Birmingham, Bristol dan Cardiff antara April hingga November 2023.

Sepanjang tempoh tujuh bulan itu, geng terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat yang diketuai Mason mengangkut hampir satu tan dadah kelas A.

Pendakwa raya, Charlotte Hole memaklumkan bahawa Mason telah merekrut 10 ahli keluarganya sendiri untuk menggerakkan operasi sindiket berkenaan.

Lebih mengejutkan, aktiviti tersebut turut melibatkan beberapa individu bawah umur yang terpedaya dengan janji ‘perolehan keuntungan tinggi’ meskipun menyedari ia adalah kegiatan jenayah.

Pakar pendakwa raya dari Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS), Robert Hutchinson, menyifatkan keluarga Mason bukanlah sebuah “keluarga biasa”, sebaliknya telah menubuhkan sebuah perusahaan jenayah yang sangat menguntungkan, namun akhirnya mengheret mereka ke penjara. – Agensi

 

 

Scroll to Top