am@hmetro.com.my
Jasin: Hidup dalam kepanasan dan hanya bergantung cahaya solar antara realiti pahit terpaksa ditempuhi warga emas yang tinggal bersama dua cucu kecil di Taman Wira Tehel, di sini.
Tanpa bekalan elektrik sejak hampir tiga tahun lalu akibat tunggakan bil yang mencecah RM6,000, kehidupan harian Selemah Midon, 80, dan cucu-cucunya penuh dengan serba kekurangan.
Namun, sinar harapan akhirnya muncul apabila kisah menyayat hati itu mendapat perhatian Penyelaras DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah.
Menurut beliau, warga emas tersebut tinggal bersama dua orang cucunya yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun, dalam keadaan serba kekurangan termasuk terpaksa membasuh pakaian menggunakan tangan kerana tiada bekalan elektrik.
“Keadaan ini amat menyedihkan, bayangkan seorang nenek yang uzur terpaksa menjaga dua cucu kecil tanpa bekalan elektrik untuk tempoh yang begitu lama.
“Ia sangat mencabar, lebih-lebih lagi melibatkan kanak-kanak,” katanya yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri.
Hasil keprihatinan bersama dan sumbangan orang ramai, sejumlah RM2,000 berjaya dikumpulkan bagi membolehkan proses penyambungan semula bekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaksanakan, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada keluarga berkenaan.
“Kita juga berterima kasih kepada TNB yang membolehkan baki tunggakan dibayar secara ansuran selain akan terus memantau keluarga ini supaya kebajikan mereka terjaga,” katanya lagi.
Sementara itu, warga emas tersebut menyatakan kesyukurannya dan tidak dapat menahan sebak apabila bantuan diterima.
Katanya, walaupun hidup dalam kesusahan, dia tidak sanggup berpisah dengan cucu-cucunya.
“Saya tak mahu berpisah dengan cucu, walaupun susah, selagi ada hayat, selagi itulah saya akan jaga mereka,” katanya dengan nada penuh ketabahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




