'Nenek Swafoto' meninggal dunia

'Nenek Swafoto' meninggal dunia

Tokyo: Wanita yang dikenali sebagai ‘Nenek Swafoto’ Jepun meninggal dunia pada usia 97 tahun, lapor portal South China Morning Post.

Kimiko Nishimoto, wanita luar biasa yang dikenali sebagai ‘Nenek Swafoto’ Jepun kerana karya potret dirinya yang lucu dan menyentuh hati, dilaporkan meninggal dunia akibat kanser.

Meskipun hanya mula belajar fotografi pada usia 72 tahun, Nishimoto membuktikan bahawa kreativiti tidak mengenal usia.

Dengan pendekatan unik dan penuh humor terhadap kehidupannya sebagai warga emas, beliau menarik perhatian dunia dan memberi inspirasi kepada orang ramai.

Dilahirkan di Brazil dan berpindah ke Jepun pada usia lapan tahun, Nishimoto menetap di wilayah Kunamoto di Pulau Kyushu.

Sebelum mendalami seni, dia pernah bekerja sebagai pendandan rambut dan menjadi pelumba basikal kompetitif dengan menyertai perlumbaan bersama abang-abangnya.

Pada usia 27 tahun, dia berkahwin dengan seorang pegawai cukai dan membesarkan tiga orang anak.

Namun kehidupannya berubah apabila beliau belajar fotografi daripada anak lelakinya yang juga pengarah seni.

Pada usia tua, Nishimoto mencipta potret diri yang lucu dan berani seperti menyamar sebagai pari-pari berbual dengan burung, dikejar kereta dengan kerusi roda elektrik dan dilanggar kereta semasa membaca akhbar.

Dalam satu gambar, beliau membalut dirinya dengan plastik sampah dan menulis kapsyen: “Apabila kita tua, dibuang itu perkara biasa.”

Dia belajar sendiri menyunting gambar dan menghasilkan karya menggambarkan sisi comel, pelik dan menghiburkan dalam hidup seharian serta mempunyai lebih 400,000 pengikut di media sosial sejak aktif pada 2018.

Selepas kematian suaminya akibat kanser paru-paru pada 2012, fotografi menjadi tempatnya meluah rasa. Anak lelakinya menghadiahkannya sebuah robot humanoid bernama Pepper yang turut menjadi subjek gambarnya.

Pada Mei lalu, Nishimoto berkongsi gambar menghisap daun dan memberitahu pengikutnya bahawa dia akan dimasukkan ke hospital.

Gambar terakhirnya dimuat naik pada 5 Jun menunjukkan bunga sakura dengan kapsyen: “Saya harap saya dapat melihat bunga sakura lagi tahun depan.”

Namun pada 9 Jun, anak sulungnya mengumumkan pemergian Nishimoto.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top