KATHMANDU: Tiga bulan sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan ratusan nyawa di kawasan lembah sempadan Nepal dan China, pihak berkuasa kedua-dua negara sebenarnya bertemu di Kathmandu untuk membincangkan risiko bencana berkenaan.
Dalam pertemuan pada 27 Mei di ibu negara Nepal itu, seramai 10 pegawai dari Nepal dan kira-kira berbelas pegawai China termasuk dari wilayah Tibet, membincangkan pengukuhan kerjasama bagi memantau dan menangani bahaya banjir, cuaca serta ancaman berkaitan glasier berdasarkan agenda yang disediakan oleh pihak Nepal yang dilihat oleh Reuters.
Perbincangan itu menggesa tindakan pengurangan risiko bersama dilaksanakan, termasuk pengauditan inventori tasik glasier serta pemetaan bahaya bencana.
Bagaimanapun, dua pegawai Nepal memberitahu Reuters mereka tidak menerima maklumat berhubung risiko glasier dan paras air sebanyak yang diharapkan daripada pihak China selepas pertemuan tersebut.
Mereka turut bimbang perkongsian data yang tidak mencukupi boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk meramal dan bersedia mendepani bencana besar.
“Apa yang kami sebenarnya inginkan daripada mereka dan masih harapkan sehingga kini adalah sekiranya terdapat pergerakan awal glasier dan pergerakan di sekitar kawasan berkenaan, kami mahu mengetahuinya lebih awal,” kata Sauhardra Joshi, seorang ahli hidrologi di Bahagian Ramalan Banjir Nepal yang menghadiri mesyuarat pada Mei lalu.
Setakat ini, tiada pegawai mahupun pakar yang menyalahkan mana-mana pihak atas bencana alam berkenaan yang dianggarkan memerlukan kos pemulihan menyamai satu persepuluh daripada hasil ekonomi tahunan Nepal.
Pegawai Nepal menegaskan keutamaan kini adalah untuk memperdalamkan kerjasama dengan China.
Seorang lagi ahli hidrologi kerajaan Nepal, Binod Parajuli mendedahkan pihak China menyatakan mereka tidak mempunyai mandat untuk menandatangani sebarang perjanjian bagi memenuhi permintaan Nepal, sebaliknya meminta perbincangan lanjut dijalankan.
Perincian mengenai mesyuarat tersebut serta tuntutan Nepal untuk kerjasama yang lebih luas dalam memantau glasier yang mengancam komuniti di kedua-dua belah sempadan belum pernah dilaporkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Kedutaan China di Nepal menerusi kenyataan di platform X pada Sabtu menyatakan Beijing dan Kathmandu sentiasa berhubung rapat mengenai isu berkenaan dan mencapai kemajuan berasaskan fakta semasa mesyuarat pada Mei lalu dalam mempromosikan perkongsian maklumat bencana rentas sempadan.
Beberapa pegawai mendedahkan Nepal pernah menyuarakan kebimbangan yang sama pada tahun lalu.
Bagaimanapun, pakar dan pegawai menegaskan bahawa kemajuan perbincangan yang perlahan bukanlah punca utama berlakunya bencana terbaharu yang menyaksikan runtuhan glasier mencetuskan tanah runtuh dahsyat hingga mengorbankan hampir 800 nyawa di kedua-dua negara serta menyebabkan lebih 3,000 penduduk masih hilang, mengikut angka terkini. -AGENSI

