Nepal siasat skim penipuan menyelamat pendaki Gunung Everest

Nepal siasat skim penipuan menyelamat pendaki Gunung Everest
Nepal siasat skim penipuan menyelamat pendaki Gunung Everest

Pihak berkuasa di Nepal menyiasat skim penipuan insurans bernilai kira-kira AS$20 juta (RM81 juta) melibatkan operasi penyelamatan palsu di Gunung Everest serta kemasukan hospital secara tidak sah bagi tuntutan pampasan.

KATHMANDU – Pihak berkuasa di Nepal menyiasat skim penipuan insurans bernilai kira-kira AS$20 juta (RM81 juta) melibatkan operasi penyelamatan palsu di Gunung Everest serta kemasukan hospital secara tidak sah bagi tuntutan pampasan.

Lapor Global News pada Jumaat, Biro Siasatan Pusat Nepal, Central Investigation Bureau (CIB) memaklumkan seramai 10 individu telah ditahan termasuk kakitangan syarikat pendakian, pengendali helikopter, pekerja hospital dan anggota penyelamat.

Menurut CIB, syarikat dan individu terlibat didakwa memalsukan misi penyelamatan di Gunung Everest dengan mengemukakan dokumen tidak sah kepada polis Nepal dan syarikat insurans, termasuk senarai penumpang, laporan perubatan serta dokumen lain bagi tujuan tuntutan insurans.

Laporan NBC News pula menyebut seramai 32 pemandu pelancong telah didakwa, manakala penyiasat mengenal pasti hampir 4,800 pendaki antarabangsa yang menerima rawatan di hospital terlibat antara tahun 2022 hingga 2025.

Jurucakap agensi itu berkata, skim berkenaan menyasarkan warga asing yang mengalami masalah kesihatan ketika mendaki di kawasan pergunungan Himalaya itu.

Siasatan oleh Kathmandu Post mendapati pihak terlibat akan mengadakan operasi penyelamatan dan mengemukakan tuntutan insurans yang tidak mencerminkan keadaan kesihatan sebenar pesakit.

Kaedah lain termasuk menakut-nakutkan pendaki yang mengalami simptom penyakit altitud supaya percaya mereka berada dalam keadaan serius dan perlu dipindahkan segera.

Dalam beberapa kes, teknik seperti pengambilan air berlebihan akan memburukkan lagi simptom penyakit altitud.

Bagaimanapun, CIB menafikan sebahagian dakwaan termasuk tuduhan bahawa pemandu pelancong meracuni pendaki.

“Siasatan setakat ini tidak menemui bukti bahan beracun digunakan,” jelasnya.

Dengan ketinggian 29,029 kaki dari paras laut, usaha menawan puncak Gunung Everest sememangnya berisiko tinggi.

Kira-kira 1,000 pendaki mencuba setiap tahun, namun hanya 7,583 individu berjaya menamatkan pendakian tersebut.

 

 

Scroll to Top