Palm Beach, AS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu majlis sambutan Ambang Tahun Baharu yang gemilang di resort mewah Mar-a-Lago beliau pada Rabu, menurut laporan media sosial.
Netanyahu, yang tiba di kediaman presiden AS di Palm Beach pada Isnin, dilihat bersama Trump yang segak memakai tuksedo pada malam Rabu menerusi satu hantaran media sosial oleh pempengaruh konservatif, Michael Solakiewicz.
Trump sebelum ini sempat berseloroh bahawa pemimpin Israel itu boleh menghadiri parti itu ketika sesi mesyuarat pada Isnin bagi membincangkan isu gencatan senjata Gaza yang rapuh serta kebimbangan geopolitik serantau lain di Asia Barat.
Senarai tetamu majlis itu termasuk penyokong tegar Trump, Rudy Giuliani dan bilionair Emiriah, Hussain Sajwani, bersama anak lelaki presiden itu, Eric dan Don Jr.
Turut hadir adalah anggota kanan pentadbiran beliau, termasuk Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem dan Timbalan Ketua Kakitangan Rumah Putih, Dan Scavino.
Gencatan senjata Gaza pada Oktober adalah salah satu pencapaian utama tahun pertama Trump kembali berkuasa, namun sesetengah pegawai Rumah Putih bimbang Netanyahu sengaja melambatkan proses itu.
Pada minggu ini, Trump cuba meredakan laporan berhubung ketegangan dengan Netanyahu mengenai peringkat kedua gencatan senjata itu, dengan menegaskan bahawa Israel telah menunaikan komitmen mereka dan tanggungjawab kini terletak di bahu kumpulan militan Palestin, Hamas.
Memihak kepada perdana menteri Israel itu, Trump menyatakan beliau “tidak bimbang dengan apa jua tindakan yang dilakukan oleh Israel.”
Rundingan minggu ini menandakan pertemuan kelima seumpamanya di AS sejak Trump kembali memegang tampuk kuasa pada tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




