Netanyahu ikrar lucut kewarganegaraan individu fitnah tentera Israel

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Rabu berikrar akan meluluskan undang-undang bagi membatalkan kewarganegaraan sesiapa yang memfitnah tentera Israel.

Langkah itu menjadi ancaman terbaharunya terhadap pengarah Israel yang menerbitkan dokumentari ‘NAZA’ berkenaan pembunuhan orang awam Gaza oleh tentera Israel.

Diarahkan wartawan Israel, Yuval Abraham dan Rachel Szor, NAZA mendakwa pembunuhan orang awam secara besar-besaran menjadi sebahagian daripada keputusan penentuan sasaran Israel di Gaza, dakwaan yang ditolak oleh Netanyahu dan pihak tentera.

Filem yang memenangi hadiah utama di Festival Filem Venice pada Sabtu itu mengambil tajuk daripada istilah ketenteraan Israel bagi merujuk kepada ‘korban sampingan’ yang dijangkakan selain dibina berdasarkan temu bual tanpa nama bersama pegawai perisikan dan anggota tentera.

Dokumentari itu mencetuskan reaksi di Israel dengan pihak tentera turut meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terbabit.

Ia juga hadir ketika suasana politik Israel semakin tegang menjelang pilihan raya pada 27 Oktober dengan tinjauan pendapat umum menunjukkan koalisi sayap kanan pimpinan Netanyahu berdepan kemungkinan kehilangan sokongan.

Pada Selasa, Netanyahu menuduh beberapa pencabarnya dalam pilihan raya gagal mengambil pendirian tegas terhadap dokumentari berkenaan sambil mendakwa keadaan itu menyebabkan mereka tidak layak memegang jawatan.

Pada Rabu, beliau turut berikrar untuk mengemukakan dua rang undang-undang yang didakwa bertujuan menangani ‘kerosakan amat besar’ terhadap tentera Israel.

“Pertama, untuk membatalkan kewarganegaraan sesiapa sahaja yang memfitnah tentera (Israel) dan kedua untuk menjejaskan poket mereka dengan meningkatkan jumlah ganti rugi yang boleh dituntut bagi kes fitnah sehingga 20 kali ganda,” katanya dalam video yang dimuat naik di media sosial.

“Kami akan menjejaskan kewangan dan kewarganegaraan mereka kerana tempat mereka bukan bersama kami,” katanya.

Netanyahu memetik tiga insiden sebagai asas cadangan rang undang-undang itu iaitu filem terbaharu NAZA yang menggambarkan pegawai dan tentera (Israel) sebagai penjenayah perang; kenyataan pada 2025 oleh bekas jeneral berhaluan kiri yang kini menjadi ahli politik, Yair Golan bahawa “negara yang siuman tidak membunuh kanak-kanak sebagai hobi” dan kebocoran video pada 2024 oleh pegawai undang-undang tentera yang menunjukkan tentera mendera tahanan Gaza.

Reuters tidak dapat menghubungi pembikin filem NAZA bagi mendapatkan ulasan berhubung perkara itu.

Pada 2022, Mahkamah Agung Israel mengekalkan undang-undang yang membenarkan pelucutan kewarganegaraan rakyat Israel yang melakukan tindakan yang dianggap melanggar kepercayaan terhadap negara dan sebarang perundangan baharu berkemungkinan turut menghadapi cabaran mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top