BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan melakukan lawatan rasmi pertama ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Khamis susulan perjanjian persetujuan kedua-dua negara untuk menjalin hubungan, lapor media Israel.
Pegawai kanan di pejabat Netanyahu enggan mengulas laporan radio awam Israel, akhbar Haaretz dan saluran lain.
Kunjungan dilaporkan akan berlangsung kurang dari dua minggu sebelum Netanyahu menghadapi pemilihan semula, undian keempat Israel dalam tempoh kurang dari dua tahun.
Perdana Menteri itu yang berkuasa sejak 2009, berusaha menonjolkan kewibawaannya sebagai negarawan tertinggi Israel sebagai usaha kepada pemilihan semulanya.
Menurut laporan, Netanyahu akan bertemu dengan pemimpin UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan di lapangan terbang Abu Dhabi.
Beliau kemudian kembali ke Baitulmaqdis untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban mengenai usaha vaksinasi COVID-19.
UAE memulihkan hubungan dengan negara Yahudi itu pada September lalu, menjadikannya negara Arab pertama yang menandatangani Perjanjian Ibrahim, ditaja oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Kerjasama itu menjadikan UAE negara Arab ketiga menjalin hubungan dengan Israel, selepas Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994.
Bahrain, Maghribi dan Sudan kemudian bergabung dengan Perjanjian Ibrahim.
Netanyahu dijadual mengunjungi UAE dan Bahrain pada Februari, namun ditangguhkan selepas Israel mengenakan sekatan perjalanan untuk membendung COVID-19. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




