Netanyahu sengaja bikin panas, mengaku sokong militia di Gaza

Netanyahu sengaja bikin panas, mengaku sokong militia di Gaza
Penduduk Gaza terus dihujani bom tanpa henti dan semakin diperhebatkan sejak Zionis melancarkan kempen 'penaklukan' ke atas wilayah itu. - Foto Agensi

Penduduk Gaza terus dihujani bom tanpa henti dan semakin diperhebatkan sejak Zionis melancarkan kempen ‘penaklukan’ ke atas wilayah itu. – Foto Agensi

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengakui bahawa beliau menyokong kumpulan bersenjata di Genting Gaza yang menentang gerakan Hamas.

Kenyataan kontroversi itu dibuat sebagai respons terhadap laporan media Israel dan Palestin yang mendedahkan bahawa kumpulan yang ‘bekerjasama’ dengan Tel Aviv adalah daripada puak Badwi yang dipimpin oleh Yasser Abu Shabab.

Terdahulu, bekas Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman menyatakan bahawa Netanyahu telah memberi arahan untuk membekalkan senjata kepada kumpulan tersebut.

“Apa perkara baharu yang didedahkan Lieberman? Ya, benar kami mengaktifkan kumpulan itu atas saranan pegawai keselamatan. Apa yang buruk tentang keputusan itu? Ia lebih banyak beri impak positif kerana dapat menyelamatkan nyawa askar kami,” kata Netanyahu ketika menjawab dakwaan tersebut menerusi catatan di media sosial miliknya, baru-baru ini.

Sementara itu, pakar hal ehwal Palestin di Pusat Moshe Dayan di Tel Aviv, Dr Michael Milshtein memberitahu bahawa anggota militia pimpinan Abu Shabab adalah sebahagian daripada puak Badwi yang mendiami kawasan sepanjang sempadan antara Gaza dan Semenanjung Sinai di Mesir.

Pada Jumaat lalu, jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Effie Defrin turut mengesahkan bahawa mereka menyokong militia tempatan di Gaza, namun tidak mendedahkan butiran lanjut tentang perkara tersebut. – Agensi

Scroll to Top