Pelakon terkenal, Fattah Amin mendedahkan percutian bersama cahaya matanya ke Hong Kong baru-baru ini dibuat bagi memberi pengalaman baharu kepada Nur Fatima Aisya.
Menjawab persoalan yang diajukan oleh warganet di media sosial, keputusan memilih Hong Kong sebagai destinasi percutian adalah kerana ia merupakan kunjungan pertama mereka ke negara berkenaan, selain mahu memperkenalkan Fatima kepada kelainan setiap taman tema Disneyland.
“Hari tu Fatima dah pergi Tokyo, jadi saya nak bawa dia ke tempat lain sebab Disneyland di setiap negara berbeza. Itu sebab saya pilih Hong Kong. Malah, saya sendiri pun tak pernah sampai ke sana sebelum ini,” jelasnya.
Fattah ditemui XTRA pada majlis pelancaran platform OTT, UTV di Zepp Kuala Lumpur, semalam.
Menurut pelantun lagu Wanita Terakhir ini, Fatima sangat teruja sepanjang percutian itu, lebih-lebih lagi apabila ditemani sepupunya.
“Fatima enjoy dan excited, seperti yang saya kongsikan dalam gambar di media sosial. Ada banyak lagi gambar dan video tapi tak sempat saya muat naik. Dia pun seronok sebab ada sepupu untuk berkawan,” katanya.
Berkongsi mengenai kos percutian, pelakon drama bersiri Keluarga Itu mengakui dirinya menanggung sebahagian besar perbelanjaan kerana merasakan itu tanggungjawabnya sebagai anak sulung.
“Betul, ia tanggungjawab saya, sebab yang ikut pun keluarga. Tapi saya tak anggap sebagai sponsor, lebih kepada percutian keluarga, jadi kami saling berkongsi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fattah turut menyatakan hasrat untuk membawa Fatima bercuti ke Disneyland Paris pada masa hadapan.
“Saya memang teringin nak bawa dia ke Disneyland Paris. Insya-Allah, kalau ada rezeki. Buat masa sekarang saya kena kerja lebih keras untuk realisasikan impian tu,” katanya lagi.
Mengulas mengenai teguran netizen yang berpendapat dia jarang berkongsi momen bersama Fatima, Fattah menegaskan dia lebih memilih untuk menjaga privasi.
“Setiap orang ada cara sendiri. Saya lebih suka jaga privasi, cuma bila ada masa baru saya kongsi. Tambahan pula sebagai single dad, saya urus sendiri keperluan Fatima dari mandikan, siapkan pakaian dan sebagainya. Fatima pula seorang yang clingy, ke mana-mana mesti nak dengan daddy dia,” jelasnya.
Sebagai rekod, Fattah berkahwin dengan pelakon Fazura pada 27 November 2017 namun rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Fatima yang kini berusia lima tahun.




