PENGANALISIS bola sepak Sky Sports, Gary Neville meluahkan rasa terkejut apabila pengendali Arsenal, Mikel Arteta, masih kekal memimpin skuad The Gunners meskipun sudah lima tahun tanpa sebarang kejuaraan.
Kekalahan Arsenal kepada Paris Saint Germain (PSG) dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu sekali gus menamatkan harapan mereka untuk meraih sebarang trofi bagi musim 2024/2025.
Skuad kendalian Arteta itu turut sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di belakang Liverpool dalam perebutan kejuaraan musim ini.
Arsenal yang merupakan pencabar utama Liverpool dilihat gagal memberikan tekanan konsisten terhadap pasukan bimbingan Arne Slot sepanjang kempen berlangsung. Antara faktor utama prestasi mereka terjejas ialah masalah kecederaan dan ketumpulan jentera serangan.
Untuk rekod, Arteta hanya pernah meraih tiga kejuaraan sejak dilantik pada 2019, iaitu dua Perisai Komuniti dan satu Piala FA 2020.
Susulan itu, Neville yang juga bekas pertahanan Manchester United, mempersoalkan mengapa tidak ada desakan terhadap kedudukan Arteta sebagai pengurus.
“Agak luar biasa apabila seorang pengurus boleh terus kekal selama lima tahun tanpa sebarang trofi. Kami sangka zaman seperti ini sudah berlalu. Kebiasaannya, jika gagal menjulang trofi dalam tempoh tersebut, seseorang pengurus pasti akan diberi tekanan,” katanya.
Neville turut menegaskan bahawa walaupun Arteta menyedari penurunan prestasi dalam saingan liga, persembahan Arsenal di pentas Eropah tidak seharusnya mengaburi kelemahan sebenar pasukan.
“Mereka ketandusan pemain di bahagian serangan dan masih belum memiliki pemain tengah yang mampu menerima bola dari posisi bertahan.”
“Bayangkan, dalam tempoh tujuh musim, Arsenal hanya membeli seorang penyerang. Mereka telah membelanjakan sejumlah wang yang besar, tetapi hanya satu penyerang? Itu sangat tidak masuk akal,” ujar Neville.