New Joe tidak gentar cabar jaguh dunia

New Joe tidak gentar cabar jaguh dunia

PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Lau New Joe mahu memberikan aksi terbaik dalam penampilan sulungnya di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow meskipun bakal berdepan saingan sengit daripada pelumba-pelumba bertaraf dunia.

Atlet berusia 21 tahun itu mengakui teruja apabila berpeluang beraksi di temasya berprestij tersebut selepas pernah menyertai Sukan Komanwel Remaja sebelum ini.

Menurut New Joe, pengalaman beraksi di pentas lebih besar itu menjadi motivasi untuk mengharumkan nama negara tanpa dibebani tekanan mengejar keputusan tertentu.

“Saya sangat teruja dapat menyertai Sukan Komanwel. Dulu saya pernah beraksi di Sukan Komanwel Remaja, tetapi kali ini adalah Sukan Komanwel sebenar.

“Saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk Malaysia dan berlumba tanpa ada sebarang penyesalan,” kata New Joe yang akan menggalas cabaran negara dalam acara elimination dan 40 kilometer (km) points race.

Mengulas saingan di Glasgow, New Joe tidak gentar untuk berdepan pelumba-pelumba handalan dunia, malah menganggap peluang itu sebagai medan terbaik untuk menguji kemampuan sendiri.

“Kali ini setiap negara ada tiga wakil, jadi memang akan ada pusingan kelayakan. Saya tidak mahu berjanji mengenai keputusan yang boleh dicapai, tetapi saya mahu memberikan yang terbaik dalam semua acara yang saya sertai,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran di Glasgow, New Joe berkata, dia lebih memberi tumpuan untuk meraih kedudukan terbaik berbanding meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

“Kami hanya sasarkan kedudukan terbaik. Apa yang penting ialah melakukan yang terbaik kerana saya tidak mahu meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi,” katanya.

Musim ini, New Joe memperoleh pengalaman dan proses pembelajaran berguna dalam kariernya apabila mewakili negara pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perth, Hong Kong dan Nilai.

Antara pencapaian terbaiknya di kejohanan tersebut adalah menamatkan saingan di kedudukan ke-10 dalam acara omnium dan elimination dekat Perth pada Mac lalu.-UTUSAN

Scroll to Top