Newcastle calar misi Eropah Leicester

Newcastle calar misi Eropah Leicester

LONDON: Newcastle United merencatkan misi Leicester City memburu tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan kemenangan 4-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power.

Leicester yang berada di tangga ketiga, kini hanya dua mata mengatasi Chelsea dan lima di depan West Ham, dengan kedua-dua lawannya itu bermain kurang satu perlawanan.

Joe Willock, pemain pinjaman dari Arsenal, meletakkan Newcastle di depan pada minit ke-22 untuk melebarkan rekod jaringannya kepada empat perlawanan berturut-turut dalam aksi liga bersama The Magpies.

Pelawat menambah jaringan sebelum rehat menerusi Paul Dummet dan Callum Wilson memastikan kemenangan dengan dua gol di babak kedua.

Marc Albrighton dan Kelechi Iheanacho turut menemui sasaran untuk Leicester dalam tempoh 10 minit terakhir permainan.

Leicester, yang berdepan Chelsea pada final Piala FA minggu depan, kini berisiko terlepas kelayakan Liga Juara-Juara sekali lagi selepas mereka tercicir dari kelompok empat teratas pada hari terakhir musim lalu.

Baki tiga perlawanan liga mereka adalah menentang pasukan dalam kelompok enam teratas, dengan anak buah Brendan Rodgers bertandang ke Manchester United pada Selasa sebelum berdepan Chelsea dan Tottenham selepas aksi final Piala FA di Wembley.

“Kami kurang tumpuan dan jika anda melakukannya ketika berdepan pasukan kuat dan pemain yang bagus, mereka akan menghukum kamu,” kata Rodgers.

Benteng Leicester dilihat terjejas selepas Jonny Evans cedera ketika memanaskan badan.

Newcastle pula kini 12 mata di atas zon penyingkiran dan akan kekal untuk saingan Liga Perdana Inggeris musim depan sekiranya Fulham gagal menewaskan Burnley Isnin ini.

“Beberapa serangan balas amat menakjubkan, saya gembira dengan kemenangan ini,” kata pengendali Newcastle Steve Bruce. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top