Newcastle: Newcastle United mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas menewaskan Qarabag 3-2 di St James’ Park, awal pagi tadi untuk melengkapkan kemenangan agregat 9-3.
Kejayaan itu dalam genggaman selepas Newcastle membelasah Qarabag 6-1 pada aksi pertama di Baku minggu lalu, namun jangkaan untuk satu lagi pesta gol tidak menjadi kenyataan meskipun tuan rumah bermula cemerlang.
Newcastle mendahului 2-0 dalam tempoh enam minit pertama, dengan dua gol hadir dalam jarak 80 saat menerusi Sandro Tonali pada minit keempat dan Joelinton menerusi sepakan voli pada minit keenam.
Namun, berbeza dengan aksi di Baku yang menyaksikan Newcastle mendahului 5-0 pada separuh masa, skuad The Magpies mula memperlahankan tempo permainan dan membenarkan Qarabag kembali bangkit, sekali gus menafikan harapan untuk kemenangan besar pada perlawanan timbal balik.
Camilo Duran merapatkan jurang buat pelawat pada minit ke-50, sebelum Newcastle segera membalas dua minit kemudian apabila Sven Botman menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Juara-Juara menerusi tandukan hasil sepakan sudut Kieran Trippier.
Pengurus Eddie Howe memasukkan wira empat gol pada aksi pertama, Anthony Gordon, pada minit ke-54 menggantikan Joelinton ketika kedudukan 3-1, namun pertukaran itu tidak banyak mengubah corak permainan.
Kedudukan menjadi 3-2 tiga minit kemudian apabila Elvin Jafarguliyev menyempurnakan sepakan kaki kiri selepas Aaron Ramsdale menyelamatkan sepakan penalti Marko Jankovic, yang dihadiahkan susulan bola terkena tangan Dan Burn.
Howe mengakui pasukannya sedikit mengendur selepas permulaan cemerlang.
“Pada kedudukan 2-0, kami mungkin sedikit mengendur. Itu bukan niat kami, tetapi ia reaksi semula jadi,” kata Howe.
“Jika dilihat secara keseluruhan dua perlawanan, prestasi pemain sangat cemerlang, walaupun kemenangan hari ini terasa sedikit hambar bagi kami.”
Newcastle bakal berdepan Barcelona atau Chelsea pada pusingan kalah mati, dengan undian dijadualkan berlangsung pada Jumaat.
Barcelona sebelum ini menewaskan Newcastle 2-1 di St James’ Park dalam aksi Liga Juara-Juara September lalu, manakala Chelsea mencatat keputusan seri 2-2 di venue sama dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Disember.
“Kami sangat menikmati perlawanan menentang Barcelona dan turut beraksi baik menentang Chelsea di sini. Kami tidak menang dalam kedua-duanya, jadi harap itu petanda baik buat kami,” ujar Howe, sambil menegaskan bahawa mara ke pusingan kalah mati adalah sasaran utama pasukan sejak awal musim.
Perlawanan itu turut mencatat kemenangan keenam Newcastle dalam satu kempen Liga Juara-Juara, pencapaian pertama seumpamanya buat kelab itu.
Ia juga menjadi penampilan sulung Newcastle di peringkat kalah mati, walaupun pada 2003 mereka pernah mara ke fasa kedua peringkat kumpulan yang ketika itu melibatkan 16 pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




