LONDON: Bos Manchester City, Pep Guardiola tidak tidur lena memikirkan cara untuk berdepan bintang Paris Saint-Germain, Neymar dan Kylian Mbappe menjelang separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.
Guardiola sedar penyerang Brazil, Neymar dan bintang Perancis, Mbappe akan memberikan ancaman serius terhadap harapan City mara ke final pertama Liga Juara-Juara.
Pasangan hebat itu memusnahkan Barcelona pada kelompok 16 terakhir sebelum memberi inspirasi kejayaan di suku akhir mengatasi penyandang juara, Bayern Munich.
Guardiola cuba mencari jalan mengatasi kehebatan Neymar dan Mbappe, namun dia mengakui ia adalah tugasan sukar hingga mengganggu tidurnya.
“Saya cuba tidur lena malam tadi dan saya tidur apabila tidak memikirkan mengenai pemain seperti itu,” kata Guardiola hari ini.
“Kami tahu kami akan berdepan kesukaran dalam kedua-dua perlawanan dan mereka akan ada peluang. Semua orang tahu kualiti yang ada pada mereka. Tapi pada separuh akhir Liga Juara-Juara, apa yang anda jangkakan?”
Guardiola percaya cara terbaik menyekat Neymar dan Mbappe ialah City mengekalkan kawalan bola sebanyak mungkin.
Apabila dinyatakan bahawa Barca dan Bayern binasa ketika cuba mengamalkan gaya serangan biasa mereka, Guardiola berkata: “Kami akan melepaskan gol menerusi serangan balas pantas kerana mereka ada banyak senjata.
“Kami akan cuba menghalang mereka dengan bertahan sebagai sebuah pasukan dan bermain baik sebagai sebuah pasukan.” – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd