Neymar mungkin cedera

Paris: Neymar keluar padang tanpa menanti digantikan selepas dikasari beberapa kali ketika Paris Saint-Germain menang 1-0 pada Piala Perancis berdepan kelab divisyen dua, Caen pagi tadi dengan jurulatih Mauricio Pochettino berkata pemain itu “sakit di paha.”

Penyerang Brazil itu yang menjadi kapten ketika ketiadaan Marquinhos dan Presnel Kimpembe, dikasari dua kali dalam tempoh tiga minit.
Dia jelas kecewa dengan kekasaran kedua oleh Steeve Yago dan dilihat bertengkar dengan pemain Caen.

Selepas perlawanan bersambung, Neymar terus merungut sebelum keluar melalui terowong pemain ke bilik persalinan pada minit ke-57.
Pemain termahal dunia itu kemudiannya digantikan tiga minit selepas itu oleh Kylian Mbappe.

“Dia mengalami sakit di bahagian paha, kita akan melihat esok sama ada dia mengalami kecederaan atau tidak,” kata Pochettino. “Kami akan melihat esok selepas ujian imbasan.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai cara lawan kami bermain. Tapi ketika perlawanan, ada perasaan kurangnya perlindungan. Tapi bukan hanya perlawanan ini.” – AFP

Malay News
Sports Desk

Scroll to Top