am@hmetro.com.my
Ipoh: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini menunaikan janji dengan menyalurkan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 miliknya kepada kanak-kanak penghuni pertubuhan anak yatim, di sini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP memilih untuk menyalurkan bantuan itu kepada 28 kanak-kanak kurang bernasib baik di sini dengan membawa mereka membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya.
Hasrat itu direalisasikan oleh Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, di sini serta juga Ahli Parlimen Teluk Intan selepas beliau merasmikan empat Taman Rekreasi MADANI (TRM) di sekitar Ipoh pagi tadi.
Hadir sama pada program itu, Setiausaha Politik merangkap ADUN Menglembu beliau, Chaw Kam Foon; ADUN Pasir Pinji, Goh See Hua; ADUN Tronoh, Steven Tiw serta Setiausaha Politik ADUN Kepayang merangkap Ketua Whip Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Wong Kar Keat.
Menurut Kor Ming, pemberian kepada anak yatim atau golongan kurang berkemampuan itu adalah sebagai contoh supaya mereka yang berkemampuan menggunakan bantuan SARA yang dinikmati untuk manfaat golongan lebih memerlukan.
“Bagi mereka yang merasakan bantuan ini (SARA) tidak begitu diperlukan, saya galakkan untuk membeli barangan harian dan menyumbangkannya kepada golongan kurang bernasib baik.
“Lihatlah bagaimana inisiatif seperti SARA ini dapat membantu sesebuah keluarga yang besar dalam menampung kos perbelanjaan harian mereka.
“Marilah kita sebarkan kebaikan dan keprihatinan secara bersama. Saya menyeru orang ramai memanfaatkannya sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd