NGO ada talian hayat selamatkan pasukan Kedah

NGO ada talian hayat selamatkan pasukan Kedah

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Badan Bukan Kerajaan (NGO) diwakili gabungan anak-anak Kedah yakin masih ada harapan untuk menyelamatkan pasukan Kedah daripada lenyap di dalam peta bola sepak tempatan musim depan.

Pengerusi Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Datuk Romli Ishak berkata gabungan NGO, bekas pemain, jurulatih serta kelab penyokong tidak rela membiarkan pasukan yang membawa negeri Kedah dalam saingan kancah saingan Liga Malaysia ini terus lenyap.

“Kita hadir melalui lebih 10 NGO yang kini bergabung pada program ini bersama bekas pemain, jurulatih dan juga kelab penyokong pasukan Hijau Kunjng pada hari ini dengan objektif penganjuran untuk menyatakan keperihatinan bersama mewakili seluruh rakyat Kedah memperjuangkan nasib dan hala tuju pasukan.

“Nasib pemain kita dalam Liga Malaysia ketika ini terabai dengan gaji yang tidak dibayar penuh hingga hampir setahun, malah ada seorang pemain apabila tamat sahaja liga, dia terpaksa balik ke negara asalnya dengan tak ada duit.

“Cuba bayangkan ia sangat memalukan nama negeri Kedah dan juga rakyat negeri ini. Tetapi apakan daya itu sudah berlaku, namun Insya-Allah dengan kerjasama yang sedang kita usahakan ini, kita akan cuba sedaya upaya untuk selamatkan pasukan ini,” kata Romli pada Majlis Aidilfitri NGO bersama Penyokong Hijau Kuning dan Bekas Pemain Kedah semalam.

Romli turut berkata pihaknya kini sudah memiliki talian hayat bagi menyelamatkan pasukan Kedah namun belum bersedia mendedahkan keseluruhan pelan yang dianggap satu kejutan yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Saya baru dapat berita yang baik sebentar tadi daripada Datuk Seri Saifuddin Nasution yang memaklumkan bahawa Insya-Allah, akan ada sinar dan akan cari jalan terbaik bagaimana untuk kita selamatkan pasukan negeri Kedah ini dalam masa terdekat.

“Pada saya untuk menyelamatkan pasukan KDA FC ia tak semestinya melalui satu jalur sahaja kerana ia milik swasta dan kalau nak beli kena runding dengan tuan punya kelab berkenaan.

“Tapi kita akan ada cara lain untuk untuk bagaimana mahu kembalikan kegemilangan itu dan tak semestinya melalui KDA FC. Itu sahaja yang saya boleh beritahu setakat ini dan saya tak boleh cerita lebih. Cuma tunggu dan lihat selepas ini dan ia satu kejutan dalam masa terdekat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top