NGO EMPATI: Game Changer dalam Advokasi Kesihatan Mental

Petaling Jaya, 4 Ogos 2025 –  Isu kesihatan mental bukan lagi isu yang terpinggir dalam ruang-ruang perbualan awam. Pelbagai terma taboo seperti kemurungan dan serangan keresahan (anxiety attack), kini dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat, melibatkan selebriti dan tokoh masyarakat, media massa dan media sosial.

Namun, stigma dan tanggapan buruk masyarakat terhadap pejuan kesihatan mental belum dapat dihapuskan sepenuhnya apatah lagi melibatkan golongan berisiko, seperti pesalah juvana, penagih dadah dan juga banduan. Hal ini menyebabkan ramai yang menderita dalam senyap, sehingga menjejaskan proses pemulihan mereka. Pemulihan merupakan satu proses dan perjalanan yang berterusan, yang memerlukan sistem sokongan yang kuat, dan tidak boleh dicapai melalui program kesedaran yang bersifat sekali dua sahaja.

Melihat realiti ini, NGO Empati tampil membawa pendekatan baru, dengan membina ruang untuk pemulihan kesihatan mental yang lebih berakar umbi, dengan pendekatan yang lebih mesra belia. Sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, NGO Empati aktif di lapangan komuniti, mendampingi kelompok yang sering terpinggir dan dianggap berisiko, termasuk pelajar juvana, pesakit mental, banduan penjara,dan bekas penagih dadah.

NGO Empati percaya dan yakin proses pemulihan yang menyeluruh, bukan hanya fokus kepada individu, tetapi juga hubungan kelompok sasaran ini dengan komuniti masyarakat. Dalam Projek Metamorphosis contohnya, pelajar juvana daripada Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi bukan sahaja pernah dilibatkan dalam aktiviti rekreasi yang sihat di kawasan air terjun tertutup, tetapi juga ditugaskan bagi membimbing komuniti kanak-kanak jalanan dari Chow Kit untuk berekreasi bersama-sama. Pelajar-pelajar ini juga disediakan sesi kaunseling kelompok yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah secara santai. Sesi pemulihan seperti ini membantu mereka mengenal emosi, membina semula kepercayaan diri dan belajar untuk lebih mudah diintegrasikan ke komuniti.

Oleh itu, pihak NGO Empati kini sedang membina barisan sukarelawan yang terlatih khusus untuk membantu golongan berisiko ini pulih untuk dibahagikan kepada lima kumpulan peer support;

  • Team Jebat: Pemulihan mental banduan penjara melalui aktiviti terapi seni
  • Team Tuah: Pemulihan komuniti terlibat isu dadah
  • Team Lekiu: Pembangunan jiwa pesalah juvana
  • Team Kasturi: Pemulihan berasaskan komuniti dan profesional untuk pejuang kesihatan mental
  • Team Teja: Pemulihan dan sokongan untuk wanita yang mangsa keganasan rumah tangga dan serangan seksual serta ibu tunggal

Proses pendaftaran ahli sukarelawan bagi kelima-lima kumpulan peer support ini sedang dibuka, dan NGO Empati menggalakkan penyertaan orang ramai yang berminat membantu golongan berisiko kembali pulih.

“Mewakili suara komuniti yang cuba pulih, namun masih mendapat persepsi buruk dan stigma masyarakat khususnya dari komuniti pesakit mental, NGO Empati tekad akan menjadi Game-Changer dalam menggerakkan 100 orang sukarelawan belia yang terlatih, khususnya dengan trauma-informed practices dan bengkel intensif Mental Health First Aid, untuk mendekati 5 golongan berisiko yang utama, demi memastikan pemulihan berasaskan komuniti dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak dihakimi, termasuk bersama banduan penjara, bekas penagih dadah, pelajar juvana serta pejuang penyakit mental sendiri. Kami perlukan sokongan lebih ramai pihak dalam menggerakkan insiatif ini”, kata Syahida Zulkarnain, Pengasas dan Presiden NGO Empati, yang juga Ikon Belia KDN 2024.

Pemulihan kesihatan mental bukan hanya berlaku di hospital atau seminar, tetapi juga di ruang komuniti, termasuk di rumah perlindungan, masjid, penjara,  melalui kelas sokongan komuniti, dan program yang konsisten. NGO Empati tampil membawa pendekatan yang lebih terkehadapan dalam advokasi kesihatan mental, dengan pendekatan berasaskan komuniti, pengalaman sebenar, dan intervensi yang bersifat menyeluruh. Inilah wajah advokasi kesihatan mental yang baru, yang lebih inklusif, manusiawi, dan bergerak seiring bersama komuniti. Empati percaya, semua orang berhak untuk pulih, dan berharap, masyarakat juga tampil untuk membantu advokasi kesihatan mental seperti ini.

Press Release
Malay News

Scroll to Top