NGO gesa PBT isi segera kios kosong

NGO gesa PBT isi segera kios kosong

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Semboyan Malaysia menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) agar segera mengisi kios kosong yang dibina di pelbagai lokasi agar tidak menjadi projek sia-sia dan membazir.

Pengerusinya, Yusuf Azmi menegaskan, walaupun pembinaan kios oleh PBT satu usaha baik bagi mengatur semula perniagaan penjaja kecil, pendekatan lebih proaktif perlu diambil agar kemudahan itu tidak terus terbiar dan gagal dimanfaatkan.

“Saya tak anggap ini 100 peratus salah PBT. Ada juga peniaga kecil yang enggan berpindah ke lokasi baharu walaupun tempat lama mereka tidak sesuai.

“Tapi PBT juga perlu nilai semula lokasi kios dibina. Adakah strategik dan berpotensi menarik pelanggan?

“PBT perlu mengadakan perbincangan dua hala dengan komuniti setempat serta peniaga bagi memastikan lokasi kios bersesuaian dengan keperluan pelanggan,” katanya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menafikan projek MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadi projek ‘gajah putih’ adalah tidak benar dan tidak berasas.

Beliau dipetik berkata, arahan sudah dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan agar kesemua 7,000 kiosk di seluruh negara diisi sepenuhnya dengan penjaja.

Mengulas lanjut, Yusuf mencadangkan agar PBT diberi tempoh dua bulan untuk mengisi kios kosong di mana sebulan pertama untuk promosi dan sebulan lagi bagi proses pemilihan peniaga.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang kegagalan dalam pelaksanaan projek kios akan menyebabkan imej PBT terjejas dan menyebabkan pembaziran wang rakyat.

“Jika selepas dua bulan kios masih kosong, itu menunjukkan kegagalan. Jangan hanya salahkan peniaga. PBT juga perlu usaha cari peniaga, bukan tunggu orang datang minta tapak,” katanya.

Dalam masa sama, Yusuf menggesa agar peluang berniaga dibuka secara adil, tanpa kronisme atau keutamaan melampau kepada penduduk setempat sahaja.

Jika tiada permintaan tempatan, beliau mencadangkan agar peluang diberikan kepada peniaga dari luar kawasan.

“Kita hendak tempat itu hidup, bukan terikat sangat dengan alamat kad pengenalan. Jika penduduk di situ tak nak meniaga, buka kepada orang luar. Asalkan ikut syarat, bersih, dan bayar lesen, itu dah cukup,” katanya.

KPKT nafi MyKiosk sebagai projek ‘Gajah Putih’

PBT diberi sebulan isi kekosongan MyKiosk, elak jadi projek ‘Gajah Putih’

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top