NGO Indonesia dakwa 21 syarikat ada kaitan Malaysia punca kebakaran hutan

NGO Indonesia dakwa 21 syarikat ada kaitan Malaysia punca kebakaran hutan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) mendakwa sebanyak 21 syarikat yang mempunyai kaitan dan gabungan dengan kumpulan perniagaan dari Malaysia terbabit dalam kes kebakaran hutan dan tanah di Indonesia bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Dapatan itu adalah sebahagian daripada laporan analisis pemetaan bertajuk `Who Are Behind the Fires?’ yang dikeluarkan oleh Eksekutif Nasional WALHI.

Menurut laporan berkenaan, data satelit mencatatkan sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di seluruh Indonesia sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, di mana hampir 50 peratus daripada jumlah itu berada di dalam kawasan konsesi operasi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.

Antara wilayah mencatatkan kepekatan titik panas tertinggi termasuk Kalimantan Barat iaitu 9,529 dan Kalimantan Tengah sebanyak 7,141 yang mengakibatkan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di kawasan terjejas berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

Berdasarkan analisis itu juga, sekurang-kurangnya 21 syarikat konsesi di Indonesia yang dikesan mempunyai titik panas atau kejadian kebakaran adalah anak syarikat atau bersekutu dengan kumpulan gabungan perniagaan berasal dari Malaysia.

Di samping syarikat berkaitan Malaysia, laporan WALHI turut mendedahkan bahawa sebahagian besar konsesi berisiko tinggi lain turut dikuasai oleh modal asing dan konglomerat yang mempunyai entiti induk atau pemegang saham berdaftar di Singapura, Hong Kong, mahupun wilayah perlindungan cukai seperti British Virgin Islands dan Samoa.

Sementara itu, pada 5 Oktober lalu, Greenpeace Indonesia dan Pantau Gambut mendakwa syarikat perladangan dari Malaysia dan Singapura adalah antara 20 entiti yang terbabit dalam kebakaran hutan berdasarkan set data sumber jerebu antara 1 Ogos dan 1 Oktober lalu.

Menurut laporan itu, entiti Indonesia yang sama juga dikenal pasti dalam laporan 2019 kerana mengalami kebakaran di tanah milik mereka.

Justeru WALHI menegaskan, isu kebakaran hutan dan tanah di Indonesia tidak boleh dilihat sekadar kesilapan teknikal atau kecuaian di peringkat syarikat pemegang permit tempatan semata-mata.

Sebaliknya, ia adalah masalah struktural di peringkat kumpulan perniagaan induk yang mengawal dasar operasi dan memperoleh manfaat ekonomi daripada penguasaan tanah berkenaan.

Sehubungan itu, NGO berkenaan mendesak pihak berkuasa dan kementerian berkaitan untuk mengenakan tindakan tegas termasuk penilaian semula permit, sekatan pentadbiran, penggantungan operasi serta pembatalan permit konsesi terhadap syarikat yang didapati berulang kali mengalami kebakaran di kawasan kawalan mereka.

Jelasnya, corak pengulangan titik panas di bawah pelbagai anak syarikat yang bernaung di bawah kumpulan perniagaan yang sama membuktikan bahawa ini bukanlah kejadian terpencil akibat kecuaian individu di lapangan.

Ia adalah isu struktural yang mencerminkan sejauh mana komitmen serta sistem kawalan dalaman syarikat induk benar-benar dikuatkuasakan di peringkat operasi.

Tindakan penguatkuasaan tidak lagi boleh berhenti di peringkat anak syarikat atau permit di lapangan semata-mata, sebaliknya akauntabiliti sebenar perlu dituntut hingga ke peringkat kumpulan korporat induk, pemilik manfaat di sebalik tabir serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

Ini demi memastikan ketelusan dan pemulihan ekosistem yang mampan untuk masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top