am@hmetro.com.my
Putrajaya: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Melayu dan India menggesa segala isu perkauman membabitkan kedua-dua kaum berkenaan dinoktahkan segera dengan mencari titik perdamaian menyeluruh.
Menerusi sesi dialog membabitkan beberapa NGO, mereka sepakat supaya jalan perdamaian melalui rundingan perlu diadakan bagi mencari persamaan dalam menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dialog berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua komuniti untuk berunding tanpa dipengaruhi pihak luar.
“Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain.
“Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog menerusi Program Harmoni MADANI yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Zainul berkata, rundingan pusingan pertama itu membabitkan kira-kira 20 wakil Melayu dan 10 wakil India yang komited mencari penyelesaian secara harmoni.
Sementara itu, Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar, berkata pertemuan itu amat penting bagi mencari penyelesaian damai.
Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri serta pelaksanaan audit tanah membabitkan rumah ibadat.
“Usaha hari ini adalah untuk mencari satu penyelesaian damai di antara komuniti Melayu dengan komuniti India. Ini rundingan pertama di peringkat awal dan kita bersetuju supaya perundingan meja bulat diadakan bagi membatasi isu sensitif seperti isu kaum dan pembinaan tanpa izin.
“Kita juga mencadangkan satu jawatankuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri serta audit tanah untuk mendapatkan data yang jelas,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak menginginkan hidup dalam negara yang harmoni dan tidak sewajarnya perpaduan serta perdamaian dipertaruhkan angkara segelintir individu tidak bertanggungjawab.
“Sebenarnya, kita memang hidup sebagai dalam satu negara, Malaysia yang harmoni. Tetapi disebabkan satu atau dua orang, disebabkan mulut dan tangan mereka, kita harus lupakan mereka sebaliknya kita mencari perdamaian,” katanya.
Terdahulu, sesi dialog itu berlangsung selama empat jam sejak jam 3 petang tadi.
Bagaimanapun sesi dialog terbabit diadakan secara tertutup. Antara yang dilihat hadir ialah Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamri Vinoth; aktivis, Cikgu Chandra atau nama sebenar, S Chandrasegaran serta pendakwah Bebas, Firdaus Wong.
Turut dilihat hadir ialah aktivis yang juga pempengaruh, Kumaresan Jothi @ Santhanar Dronachariyar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




