NGP lantik PayNet, NETS sebagai pengendali teknikal

NGP lantik PayNet, NETS sebagai pengendali teknikal

NEXUS Global Payments (NGP) melantik usaha sama antara Payments Network Malaysia (PayNet) dan Network for Electronic Transfers Singapore (NETS) sebagai Nexus Technical Operator (NTO) selepas melalui proses perolehan kompetitif melibatkan pembida global.

Ketua Pegawai Eksekutif NGP, Andrew McCormack berkata, pelantikan tersebut merupakan langkah penting ke arah merealisasikan rangkaian pembayaran global yang saling boleh kendali.

“Penilaian terhadap semua pembida mengambil kira keupayaan teknikal, ketahanan operasi, kecekapan kos dan nilai yang seiring dengan visi Nexus untuk mewujudkan keterhubungan global.

“Usaha sama PayNet dan NETS dipilih kerana rekod pencapaian kukuh kedua-dua rangkaian pembayaran terkemuka itu dan disokong oleh komitmen tinggi terhadap inovasi serta kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, NTO yang dilantik akan bekerjasama dengan dua firma global, (NASDAQ ‘AMZN’) dan Endava (NYSE ‘DAVA’) bagi membangunkan reka bentuk teknikal serta pembangunan platform Nexus.

Amazon Web Services ialah peneraju teknologi awan yang telah memacu penggunaan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) generatif dalam pelbagai industri, manakala Endava merupakan kumpulan transformasi perniagaan berteraskan teknologi dengan kepakaran industri serta pendekatan AI-native.

Gabungan keupayaan global itu memastikan Nexus dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa, mampu menyokong keperluan masa depan dan mencerminkan pendekatan terbaik dari pelbagai ekosistem pembayaran.

NTO bertanggungjawab membina, mengendalikan dan menyelenggara infrastruktur Nexus selain memastikan pematuhan piawaian global, keselamatan siber serta ketahanan operasi sentiasa terjamin.

PayNet pula merupakan rangkaian pembayaran nasional Malaysia yang mengendalikan perkhidmatan seperti DuitNow Transfer dan DuitNow QR manakala NETS ialah penyedia penyelesaian pembayaran utama Singapura dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam pembangunan sistem pembayaran selamat serta cekap.

Tambah beliau, pemilihan PayNet bersama NETS sebagai Nexus Technical Operator merupakan pengiktirafan besar buat Malaysia kerana mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan domestik serta kejayaan negara dalam memperkukuh pembayaran rentas sempadan.

“Melalui DuitNow dan usaha untuk menghubungkan ekosistem pembayaran serantau, kami telah membuktikan potensi yang ada, malah kini kami bersedia untuk memperluaskan impak tersebut ke peringkat global melalui Nexus.

“Kami bangga menjadi sebahagian daripada usaha untuk membina ekosistem pembayaran global yang lebih terhubung, inklusif dan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata, pemilihan PayNet bersama NETS sebagai NTO mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan domestik Malaysia dalam memperkukuh pembayaran rentas sempadan.

“Pelantikan ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan kami untuk membangunkan dan mengendalikan infrastruktur pembayaran berskala besar selain mengukuhkan peranan Singapura dalam memacu inovasi pembayaran rentas sempadan.

“NETS telah memainkan peranan mewujudkan hubungan rentas sempadan dua hala pertama antara Singapura dan Thailand bagi pemindahan akaun ke akaun pada 2021. Kami teruja membawa semangat inovasi ini untuk membangunkan pembayaran rentas sempadan yang lebih lancar melalui ekosistem ‘network-to-network’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai NETS, Lawrence Chan berkata, pelantikan NTO berkenaan menandakan kemajuan penting menuju pelaksanaan pertama Nexus dalam kumpulan negara perintisnya.

“Pembangunan teknikal dijadual bermula pada awal tahun 2026 dengan sasaran go-live pada 2027. Perkembangan ini mencerminkan komitmen teguh NGP untuk menyediakan penyelesaian global yang mampan, berskala dan saling terhubung.

“Nexus memudahkan pembayaran rentas sempadan dengan menghubungkan sistem pembayaran masa nyata setiap negara sekali gus membolehkan pengguna menghantar dan menerima dana antarabangsa dalam beberapa saat melalui aplikasi perbankan atau pembayaran sedia ada,” katanya.

Ringkasan AI

  • Nexus Global Payments melantik usaha sama PayNet dan NETS sebagai Nexus Technical Operator
  • Pelantikan ini berdasarkan proses perolehan kompetitif global dengan fokus pada keupayaan teknikal dan inovasi
  • NTO akan bekerjasama dengan Amazon Web Services dan Endava dalam pembangunan reka bentuk dan platform Nexus
  • PayNet dan NETS memiliki rekod kukuh dalam pembangunan sistem pembayaran yang selamat dan cekap
  • Nexus bertujuan untuk membina ekosistem pembayaran global yang terhubung, inklusif dan lancar
Scroll to Top