Nia, suami dihantar ke pusat pemulihan dadah

Nia, suami dihantar ke pusat pemulihan dadah

fatin.farhana@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Aktres popular Indonesia, Nia Ramadhani, 31, akan dihantar ke pusat pemulihan ekoran penahanan dalam penyalahgunaan dadah pada Rabu lalu.

Media Indonesia melaporkan, peguam Nia, Nur Zainab berkata, Nia bersama suaminya, Ardi Bakrie dan pemandu peribadi yang dikenali sebagai ZN akan dibawa ke pusat pemulihan, hari ini.

“Mungkin hari ini akan berangkat ke pusat pemulihan,” katanya.

Bagaimanapun, belum diketahui waktu dan lokasi ketiga-tiganya akan memulakan pemulihan.

Terdahulu, Nur Zainab mengesahkan Nia, Ardi dan ZN menerima cadangan Badan Narkotika Nasional (BNN) untuk menjalankan pemulihan.

Sementara itu, Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Hengki Haryadi menjelaskan, Nia dan Ardi ditahan di bawah Akta 127 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 Bahagian Narkotik. Sesuai dengan akta itu, pasangan itu dikategorikan sebagai pengguna dadah.

Hengki menjelaskan, pengguna dadah wajib menjalankan pemulihan mengikut undang-undang tersebut.

“Saya mahu menjelaskan, dakwaan mengatakan perkara ini tidak diproses mengikut Akta 127 adalah tidak benar. Setiap pengguna dadah perlu menjalani pemulihan. Ini adalah kewajipan undang-undang,” katanya.

Merujuk undang-undang, Hengki berkata, Nia dan Ardi akan dihantar ke pusat, bagaimanapun proses pemulihan tidak ditentukan oleh polis, sebaliknya BNN.

“Pemulihan tidak ditentukan oleh polis. Jika ada permintaan keluarga, kami akan memudahkannya. Ia akan dilaksanakan oleh pasukan penilaian bersepadu membabitkan BNN, pendakwa raya, doktor, psikiatri dan penyiasat di luar Jakarta Pusat,” katanya.

Dalam masa sama, Hengki turut menepis dakwaan orang ramai yang mendakwa pasangan suami isteri itu menerima layanan istimewa.

Hengki berkata, tiada unsur pilih kasih dalam mengendalikan kes berkenaan.

“Perlu dijelaskan tidak wujud diskriminasi terhadap sesiapa, tunggu siasatan selesai,” katanya.

Salah satu pertikaian adalah ketidakhadiran mereka selaku suspek ketika kali pertama kes diumumkan.

Terdahulu, menerusi sidang media, semalam, Nia menangis teresak-esak memohon maaf.

Pelakon sinetron Bawang Putih Bawang Merah itu bersama suami mengakui, menyesal dengan perbuatan dilakukannya dalam penyalahgunaan dadah.

Nia dan Ardi meminta masyarakat tidak meniru perbuatan mereka, malah sedar apa yang dilakukan selama ini satu kesalahan dan melanggar peraturan.

“Dengan kerendahan hati, saya mohon maaf atas perbuatan ini kepada semua pihak yang menaruh kepercayaan kepada saya.

“Saya, Nia Ramadhani Bakrie mengaku apa yang dilakukan bukan perkara baik. Saya seharusnya memberikan contoh terbaik kepada anak-anak dan orang sekeliling saya,” katanya.

Pasangan itu turut memohon maaf kepada orang tua masing-masing.

Menurut jurucakap keluarga, Lalu Mara Satriawangsa, bapa Ardi yang juga bekas Menteri Ekonomi Indonesia, Aburizal Bakrie sudah memaafkan dan meminta kedua-duanya tabah menghadapi kenyataan ini.

“Ardi dan Nia sudah menyampaikan permohonan maaf kepada orang tua dan keluarga. Orang tua sudah memberikan kemaafan,” katanya.

Nia mengakui mengambil dadah jenis methamphetamine atau syabu sejak lima bulan lalu bersama suaminya. Perkara berkenaan diakui pasangan itu kepada polis ketika ditahan di Balai Polis Metro Jakarta Pusat, Indonesia.

Pelakon filem Suster Ngesot dan Hantu Jembatan Ancol itu ditahan di kediamannya di Jakarta Pusat dengan syabu seberat 0.78 gram turut ditemui. Dalam serbuan itu, polis menemui alat dipercayai digunakan untuk menghisap syabu.

Mengikut laporan, Nia mengakui mengambil bahan terlarang kerana tekanan kerja dan menggunakannya sejak lima bulan lalu.

Ardi pula menyerah diri sejurus Nia ditahan polis dan mengakui sudah lama menghisap syabu secara haram di kediaman mereka.

Sebelum penahanan pasangan itu, polis terlebih dahulu menangkap pemandu peribadi, ZN yang turut didakwa mengambil dadah jenis syabu.

Mereka didakwa melanggar Akta 127 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 Bahagian Narkotik, dengan hukuman maksimum empat tahun penjara.

Nia dan Ardi mendirikan rumah tangga pada 2010 memiliki tiga cahaya mata, Mikhayla Zalindra Bakrie,Ā Mainaka Zanatti Bakrie danĀ Magika Zalardi Bakrie. – AGENSI

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top