syail.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, tidak pernah sesekali melupakan situasi yang melanda rakyat Palestin ketika ini.
Itu ditegaskan Daiyan saat namanya terpalit dalam gerakan Blockout 2024 membabitkan selebriti tempatan yang dilihat tidak bersuara untuk Palestin.
“Allah tahu. Setiap orang ada cara masing-masing. Setiap orang ada ujian masing-masing. Niat kita, Allah saja yang tahu. Redha Allah, Dia saja yang tahu.
“Saya tak pernah sesekali lupa akan saudara saya di Palestin. Saya minta maaf jika cara saya tak bertepatan dengan cara yang anda mahukan. Tak apa, saya terima segala kecaman,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Daiyan, dia juga memohon agar perjuangan untuk rakyat Palestin akan diteruskan kerana itu adalah yang paling utama.
“Sila teruskan perjuangan anda untuk saudara-saudara kita di Palestin dengan pelbagai upaya, kerana itulah yang paling penting sekali.
“Ini cara yang saya termampu pada masa ini berdasarkan situasi dan keadaan. Saya minta maaf. Saya akan cuba untuk usaha lagi dengan lebih baik.
“Segala doa untuk Palestin,” katanya.
Daiyan juga antara individu yang menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada empat organisasi bukan kerajaan (NGO) berkaitan Palestin iaitu Mercy Malaysia (RM25,000), Global peace mission (RM25,000), Cinta Gaza (RM25,000) dan Viva Palestina (RM25,000).
© New Straits Times Press (M) Bhd