Niat Shafiqah sambung belajar demi bantu keluarga

Niat Shafiqah sambung belajar demi bantu keluarga

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Pengalaman lalu hanya mampu belajar di peringkat matrikulasi selama sebulan akibat kekangan wang tidak mematahkan semangat Nur Shafiqah Alia Muhammad Azhar, 20, untuk menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Univesiti Teknologi Mara (UiTM).

Nur Shafiqah mengakui harapannya tinggi untuk melangkah ke menara gading, tetapi memikirkan kehidupan keluarga ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ memberi kegusaran kepadanya.

Dia yang akan melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Pembinaan di UiTM Shah Alam, berkata dirinya nekad untuk meneruskan perjuangan demi mengubah nasib keluarga.

“Sebelum ini, saya mungkin tidak cukup kuat menerima ujian. Saya terpaksa bertahan selama seminggu berbekal wang RM10, hanya makan biskut atau roti sahaja sementara elaun saku diterima.

“Saya tidak mahu menyusahkan bapa Muhammad Azhar Mat Din, 47, dan ibu Azrina Mohd Yasain, 41, yang ketika itu terputus punca pendapatan susulan musim tengkujuh.

“Bapa mengambil upah sebagai buruh, manakala ibu pula suri rumah. Maka pengalaman lalu tidak akan mematahkan semangat saya dan percaya pasti akan ada rezeki untuk saya terus menimba ilmu dengan niat mahu membantu keluarga,” katanya.

Nur Shafiqah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar di kediamannya di Kampung Lubok Gong, di sini, semalam.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, sepanjang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dia mengambil upah menjual pakaian di Pekan Rantau Panjang untuk membantu keluarga.

“Saya sudah membuat persiapan ala kadar untuk mendaftar masuk ke UiTM pada Ahad ini dan akan ke Shah Alam menaiki bas bersama ibu, ayah serta adik berusia setahun.

“Setakat ini, paling saya risau adalah untuk mencari wang bagi membeli komputer riba bagi kegunaan di universiti, namun saya ‘redah’ untuk mendaftar dahulu dan berdoa semoga ada jalan untuk mendapatkannya” katanya .

Sementara itu, Tuan Zaimah berkata, YRS mengambil Nur Shafiqah sebagai anak asnaf dan akan cuba mengumpul dana untuk membeli kelengkapan buatnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top