Nick Adams calon Duta Besar AS ke Malaysia

Nick Adams calon Duta Besar AS ke Malaysia

fuadnizam@nst.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pengulas konservatif yang juga penulis, Nick Adams, akan dicalonkan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan Nick Adams akan dicalonkan sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang seterusnya.

“Nick ialah penulis terlaris dan pengulas. Nick adalah graduan Universiti Sydney dan sejak itu menjadikan misi hidupnya untuk menjulang Nilai Keunggulan Amerika. Tahniah Nick!,” kata Trump.

Adams adalah seorang tokoh konservatif kelahiran Australia, penyokong lantang Trump dan dikenali menerusi usaha advokasinya yang pro-Amerika termasuk penerbitan beberapa buku serta kemunculan dalam media yang memperjuangkan nilai-nilai sayap kanan.

Sebagai reaksi balas terhadap pengumuman itu, Adams menzahirkan penghargaan menerusi platform media sosial, X.

“Tuan Presiden, terima kasih atas penghormatan terbesar dalam hidup saya. Amerika yang dipimpin anda, semua impian menjadi kenyataan. Saya berbesar hati mewakili AS di Malaysia.

“Kepada Ahli Jawatankuasa Hubungan Luar Senat yang dihormati, saya menantikan proses pengesahan yang menjadi teras kepada Perlembagaan yang telah memberikan saya kebebasan untuk mengejar Impian Amerika,” katanya.

Pencalonannya dijangka melalui proses pengesahan Senat sebelum pelantikan itu dapat dimuktamadkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top