Lagu tema rasmi bagi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) berjudul Teman Sejati dendangan kumpulan pop rock terkenal dari Indonesia, Nidji, kini menjadi buah mulut peminat selepas dilancarkan sebagai salah satu elemen penting dalam naratif sekuel filem animasi kegemaran ramai itu.
Dibawakan dalam genre pop yang mesra telinga, Teman Sejati merupakan ciptaan gitaris Nidji, Andi Ariel Harsya, dan dimuatkan dalam album terbaru mereka Manifestasi Hati yang dilancarkan pada Januari lalu.
Lagu ini bukan sekadar alunan muzik semata-mata, sebaliknya menjadi jiwa kepada EATM2 dengan lirik menyentuh hati yang menekankan tema persahabatan sejati, kekeluargaan dan kerjasama pasukan, selari dengan perkembangan hubungan antara dua watak utama, Ali dan Alicia, yang kini berubah daripada pesaing kepada rakan seperjuangan yang saling memahami dan menghormati.

Teman Sejati telah menerima pujian meluas daripada peminat yang menyifatkannya sebagai lagu runut bunyi penuh emosi dan ia menjadi pelengkap kepada babak-babak penting dalam filem.
“Ini merupakan kolaborasi pertama Nidji bersama filem animasi. Kami sendiri berbangga lagu ini dipilih kerana kami juga meminati Ejen Ali.
“Menonton EATM2, kami rasa teruja dengan kualiti yang ditampilkan dan terharu lagu ini mendapat tempat untuk menjadi lagu runut bunyi. Diharap Teman Sejati dapat memberi makna terhadap semua penggemar Ejen Ali,” kata Yusuf Ubay selaku vokalis utama.
Yusuf ditemui XTRA di sesi media bersama Nidji sempena EATM2 di Balai Berita, Bangsar, pagi tadi.

Selain Yusuf, anggota Nidji lain seperti Randy Danistha (keyboard), Ramadhista Akbar dan Andi Ariel Harsya (gitar) dan Adri Prakarsa (dram) turut hadir memeriahkan sesi media terbabit.
Klip montaj rasmi lagu tersebut yang dimuat naik ke YouTube juga telah mencecah hampir 270,000 tontonan, menandakan sambutan hangat peminat terhadap gandingan istimewa ini.
Bersempena kolaborasi lagu tema bersama EATM2, Nidji kembali ke Malaysia untuk mengadakan beberapa aktiviti promosi eksklusif bersama peminat tempatan dan komuniti Nidjiholics.
Antara aktiviti Nidji x EATM2:
Ejen Ali Nonton Bareng bersama Nidjiholics
Tarikh: 1 Jun 2025
Lokasi: GSC One Utama
Tayangan khas bersama peminat serta ahli kumpulan Nidji.
Meet & Greet bersama Nidji
Tarikh: 1 Jun 2025
Lokasi: GSC IOI City Mall, Putrajaya
Sesi bertemu peminat bersama Nidji dan maskot rasmi Ejen Ali serta Ejen Alicia.
Meet & Greet di TGV Central i-City, Shah Alam
Tarikh: 3 Jun 2025
Penampilan khas dalam empat slot tayangan (12:30, 12:45, 1:00, 1:15 petang) bersama peminat dan sesi bergambar eksklusif.
Melodi Showcase: Nidji x EATM2 Music Tour
Tayangan khas muzik di TV3 sepanjang Jun 2025, bersempena ulang tahun ke-41 TV3. Showcase ini bakal menampilkan rangkaian lagu hits Nidji termasuk “Teman Sejati” yang pastinya menghidupkan semula nostalgia dan semangat dalam kalangan peminat.
Dengan kolaborasi ini, Ejen Ali The Movie 2 bukan sahaja memperkukuh elemen sinematiknya melalui naratif visual dan aksi, malah turut menyuntik dimensi emosi dan inspirasi melalui muzik, menjadikan pengalaman menonton lebih mendalam dan bermakna.




