sukan@hmetro.com.my
Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil enggan memanjangkan isu kelewatan pengadil, S Logeswaran, meniupkan wisel menamatkan perlawanan membabitkan aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) , di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Kelewatan pengadil berkenaan menamatkan aksi berkenaan sehingga melepasi tempoh masa tambahan tujuh minit yang ditetapkan pegawai perlawanan, telah memberi ruang buat pemain JDT menjaringkan gol kemenangan mereka.
Pemain gantian JDT, Federico Hidalgo, berjaya menanduk bola masuk ke dalam gawang Negeri Sembilan sekitar minit ke-98 atau ke-99, iaitu melepasi tempoh masa tambahan yang ditetapkan pegawai perlawanan.
Penyokong skuad Hobin Jang Hobin turut melahirkan rasa tidak puas hati kerana percaya sekiranya Logeswaran meniupkan wisel pada masa ditetapkan berkemungkinan perlawanan akan berkesudahan dengan keputusan seri.
Malah sebelum itu dikatakan terdapat pegawai pasukan Negeri Sembilan FC cuba menegur pegawai perlawanan dengan mempersoalkan tindakan Logeswaran yang belum meniup wisel bagi menamatkan aksi itu ketika tempoh tambahan masa sudah berakhir.
“Saya tak pegang wisel..saya tak pasti, mungkin masa berlainan, jam tangan masing-masing…tapi kita kena kekal positif.
“Bukan isu sembilan minit..10 minit, isunya kita kena kekal fokus, kita tak boleh kawal pengadil, tak boleh kawal suasana, paling penting cara kita bermain, bagaimana kita nak mengawal pergerakan lawan dan kekalkan fokus perlawanan..itu isunya.
“Bagi saya, kita kena belajar perkara ini, walaupun agak terkilan dengan keputusan malam ini (malam tadi), tapi kita dapat mempelajari sesuatu daripada JDT, itu baik untuk pemain dan pasukan,” kata Nidzam selepas perlawanan malam tadi.
Dalam pada itu, Nidzam ternyata berpuas hati dengan komitmen anak buahnya sepanjang tempoh perlawanan berkenaan apabila mereka berjaya melaksanakan tugas masing-masing dengan berkesan sehingga menyukarkan skuad Harimau Selatan menjaringkan gol dalam tempoh perlawanan sebenar.
“Dari segi komitmen pemain Negeri Sembilan, saya gembira.. mereka telah memberikan persembahan terbaik dan hampir berjaya mengikat JDT,” kata pengendali berusia 45 tahun itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




