Nidzam harap Selangor FC bawa pulang bekalan selesa

Nidzam harap Selangor FC bawa pulang bekalan selesa

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC menurunkan kesebelasan terbaik untuk meraih keputusan positif pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,Terengganu, malam esok.

Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil berkata, beliau merehatkan pemain utama pada perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum ini sebagai persiapan menghadapi TFC.

Beliau berkata, beraksi di gelanggang sendiri sudah pastinya memberi kelebihan kepada TFC, namun Selangor FC mengharapkan dapat membawa bekalan selesa pada perlawanan timbal balik kelak.

“Pada perlawanan sebelum ini, beberapa pemain utama tidak beraksi 90 minit kerana kita tidak mahu mereka cedera, sekali gus mengganggu persiapan menentang TFC.

“Seperti sedia maklum, TFC sudah pastinya mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka, sekali gus memberi kelebihan pada perlawanan pertama itu.

“Namun, kita tidak akan menyerah kalah dan bersedia berjuang untuk memastikan mendapat bekalan selesa pada perlawanan timbal balik,” katanya.

Nidzam berkata, barisan pemainnya berada pada tahap terbaik tanpa sebarang kecederaan serius menimpa tonggak utama.

Selangor FC melangkah ke separuh akhir Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 ke atas Kuching City FC selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4 pada aksi suku akhir kedua.

TFC pula menampilkan aksi cemerlang apabila layak ke separuh akhir selepas menumpaskan Sabah FC dengan agregat 7-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top