firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jodoh Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) tampaknya tidak panjang apabila jurulatih itu meletakkan jawatan, hari ini.
Perkara itu diumumkan sendiri NSFC yang mengesahkan Nidzam sudah menyerahkan surat peletakan jawatan, hari ini.
“NSFC hari ini telah menerima surat peletakan jawatan Nidzam Jamil selaku Ketua Jurulatih berkuat kuasa serta-merta.
“Pihak kelab ingin menzahirkan ucapan terima kasih atas segala jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh beliau sepanjang bersama pasukan daripada awal musim ini,” kata kelab itu menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Susulan itu, penolong jurulatih K Rajan mengambil alih sementara pasukan.
“Dalam mendepani fasa transisi ini, penolong ketua jurulatih, K Rajan telah diberi kepercayaan penuh untuk memimpin pasukan sebagai ketua jurulatih Interim sehingga makluman selanjutnya.
“Fokus utama kelab dan barisan kejurulatihan pada ketika ini adalah untuk mengembalikan kestabilan serta moral pemain bagi mengharungi baki perlawanan musim ini.
“Kami menyeru seluruh penyokong untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad Jang dalam mengharungi cabaran ini bersama-sama.”
Ketika ini, prestasi NSFC ayak terumbang-ambing dan kekalahan terbaru 1-2 di tangan Imigresen FC pada Sabtu lalu adalah aksi terakhir bersama pasukan itu.
NSFC ketika ini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan 17 mata selepas mengharungi 16 aksi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




