sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bagi memastikan Kuala Lumpur (KL) City keluar dari permasalahan yang dialami ketika ini, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada kongres yang dijadual berlangsung pada 7 September depan.
Jelasnya, beliau menawarkan tiga manisfesto untuk membawa KL City berada di tahap lebih baik terutama dari segi kewangan iaitu kelestarian organisasi dan kewangan.
“Pertama, sebagai pusat komersial negara, kita mampu melahirkan persatuan bola sepak dan kelab profesional yang stabil dari sudut kewangan dan ditadbir dengan tatakelola terbaik. Ia harus meliputi pembangunan bakat, aspek pembangunan Belia dan Wanita wajib diberikan penekanan.
“Kedua, Kita memerlukan persatuan bola sepak yang berkesan dalam membina ekosistem yang sihat dari peringkat akar umbi ke peringkat pasukan profesional.
“Ketiga, bola sepak sebagai sukan yang paling popular dan diminati segenap lapisan masyarakat rakyat, pelbagai kaum, miskin dan tua. Ia memainkan peranan positif selama ini dalam menyatukan padukan warga kota,” katanya dalam video di laman Instagram miliknya.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan sudah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh korporat, profesional dan institusi kerajaan untuk bersama kelab gabungan mengemudi KLFA.
Katanya, sebagai peminat dan wakil rakyat, beliau turut terkesan dengan kemelut melanda pasukan KL City FC yang mendapat perhatian meluas akhir-akhir ini.
“Kami menawarkan diri untuk bertanding dalam kongres KLFA dan bersedia mendengar pandangan dari kelab gabungan serta penyokong KL City untuk kita sama-sama menjayakan cita-cita ini,” katanya.
Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas Khalid Samad meletak jawatan pada Mac lalu.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd