Nikki Palikat berkarya walau tidak didengari

Nikki Palikat berkarya walau tidak didengari

SAYA tidak akan sentuh soal permintaan dan undangan persembahan daripada prospek Nikki Palikat. Sebelum atau selepas menyertai Gegar Vaganza, saya percaya, Nikki tetap menerima undangan nyanyian untuk apa sahaja acara terbuka dan eksklusif. 

Kebanggaan terbesar saya, meskipun tidak berjaya merebut gelaran juara di GV8 dan All Stars GV (GV10), sekurang kurangnya dia tidak tersungkur jauh daripada kemenangan yang sewajarnya dia capai. 

Naib juara di GV8 dan tempat ketiga di GV10 kedudukan saya terima dengan penuh bangga. Namun, saya melihat matlamat asal GV membantu menaikkan semula nama penyanyi-penyanyi lama yang tidak atau jarang muncul di ruang awam. 

Persoalannya, berapa ramai daripada kesemua peserta 11 musim itu mendapat pulangan pelaburannya? Seperti saya cakap, tolak tepi soal undangan persembahan dan saya melihat dari aspek produk terbit selepas GV. 

Selain Liza Hanim, Nikki antara yang konsisten mengeluarkan lagu dalam bentuk single atau runut bunyi dan setiap lagu mereka bukan karya picisan yang terus didengar lupa. 

Tetapi, satu hal menjadi persoalan mengapa produk-produk ini kurang mendapat sambutan dalam kalangan pendengar? Tidak seperti Siti Nordiana yang jika dihimpun kesemua lagu rakaman popularnya berawal Terus Mencintai selepas GV2, ia sudah boleh menjadi satu album lengkap lebih 10 lagu. 

Namun, mereka yang lain tidak mendapat pulangan setimpal setelah melabur ribuan ringgit lagu untuk dijual dan diperdengar kepada pendengar. Lagu Sudah ciptaan Naim Daniel merupakan balada pertama Nikki selepas tamat GV8. 

Ia kayu pengukur ke mana perjalanan muzik Nikki untuk tahun mendatang. Saya akui, lagu ini cukup kuat berdiri sebagai balada Melayu apatah lagi dengan penghayatan Nikki dalam lagu penuh emosi yang tidak boleh disangkal. 

Namun, populariti lagu ini seakan tidak mempunyai kelangsungan panjang dan hari ini, Sudah tidak lagi menjadi bualan dan gelombangnya sudah tidak lagi merambat. Tiga tahun berlalu sejak dilancarkan pada 25 Mac 2022, Sudah mencatatkan rekod kurang daripada 400,000 tontonan di Youtube, manakala Spotify merekodkan kurang daripada 300,000 pendengaran. 

Ada pun lagu ini pernah menjadi sebutan dan terkenal sekejap kerana Sudah masih bergantung dengan situasi pemergian Siti Sarah Raisuddin kerana Allahyarhamah sepatutnya menyanyikan lagu tersebut. Nikki mengubah haluan muziknya dengan mengeluarkan single bergenre muzik tarian elektronik (EDM) berjudul Panas, ciptaan komposer Audi Mok dan lirik oleh Shazee. 

Namun, sebagai lagu berentak rancak, bertenaga dan ada unsur tarian, saya tidak terkejut kerana itulah attitude berpentas sebenar Nikki seperti mana dia mengecapi populariti menerusi lagunya, Drama dan Caramu dalam album Maharani.

Pun begitu, entah sama ada pendengar yang tidak bersedia menerima produk sebegini dalam pasaran muzik tempatan kerana lebih kedengaran advance atau mungkin 20 tahun ke belakang, Panas tidak mendatangkan impak dalam diskografi Nikki. 

Atas sebab itu jugalah mengapa Panas hanya sempat ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 39. Mendapatkan khidmat Ajai membawa kepada penghasilan balada Usah Najiskan Cinta Ini saya anggap baik, namun, saya tidak berfikir ia strategi terbaik dalam pasaran semasa yang memerlukan bunyi dan sentuhan pop baharu. 

Ini kerana, saya sudah melihat kegagalan Ajai dengan memberi format sama untuk penyanyi lain seperti Aku Ubatinya Lagi (Ramlah Ram) dan Cintaku Masih Berdiri (Siti Nordiana). Tetapi, saya masih gemar melodi mellow terhasil begini. Dugaan Takdir Cinta, duet bersama Afif Tarmizie untuk runut bunyi drama memberi bunyi yang berbeza dan dramatik terutama pada bahagian korus. 

Namun, komposer lagu ini perlu mempertimbang semula identiti musikal penyanyi lelaki yang lebih terkenal supaya lagunya lebih dikenali. 

Malam Nestapa, runut bunyi filem berjudul Gayong, menyaksikan satu lagi kerahan emosi Nikki. Seberapa banyak pun dia merakam melodi dan teknik nyanyian bernada tinggi seperti ini, saya tidak pernah merasa bosan mendengarnya. 

Sejak dahulu, skala pendengar lagu Nikki tidak sebesar Siti Nordiana, namun itu tidak bermakna tiada langsung yang mendengar karya-karya Nikki hasilkan. 

Hakikatnya, perniagaan muzik mainstream tidak mudah untuknya dan jika dianggap masih mencari haluan muzik sebenar, dia sudah temui sejak lebih 20 tahun lalu dengan Caramu, Drama serta banyak lagi lagu dalam album Maharani dan Hawa. 

Namun, tidak semua perlu menerima format muziknya semata-mata menjadikannya relevan. Dia tidak perlu mengikat kontrak bersama GV jika tujuannya hanya untuk dikenali. 

Sekalipun lagu-lagunya tidak menjadi siulan walaupun dia sudah berusaha ke arah itu, namun, Nikki tetap memberi saingan sengit jika beraksi di pentas-pentas pertandingan. Penafian: Rebiu sokong dan hargai bakat muzik Nikki sebagai penyanyi nasional. 

Ulasan ini bertujuan membuka premis perdebatan untuk mengetengahkan produk muzik dihasilkan.

Scroll to Top