'Nikmati ilmu yang tidak ada dalam bilik kuliah'

'Nikmati ilmu yang tidak ada dalam bilik kuliah'

amir_hamid@mediaprima.com.my

Tangan yang biasa memegang pen dan komputer riba di dewan kuliah tidak semestinya tidak lincah memegang raga serta ‘berkubang’ di dalam kolam lumpur.

Itu bukti semangat yang ditunjukkan sekumpulan mahasiswa daripada Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada program ‘SULAM-JSKP@COMMUNITY’ baru-baru ini.

Program jalinan komuniti yang berlangsung dua hari satu malam di Kampung Sungai Buaya, Hulu Selangor itu nyata memberi impak berbeza.

Bukan sekadar datang melawat, tetapi mereka berkampung dan menjadi sebahagian daripada keluarga besar penduduk kampung berkenaan melalui konsep anak angkat.

Aktiviti paling gamat pastinya acara menangkap ikan atau lebih dikenali sebagai ‘ngocok’ disertai puluhan penuntut.

Teriakan serta sorakan memecah suasana apabila ada yang berjaya menangkap ikan menggunakan raga, malah ada yang sanggup berlumuran lumpur daripada kepala hingga ke kaki demi merasai pengalaman ngocok.

“Itulah pengalaman yang tidak boleh dibeli di dalam kelas.

“Melihat wajah ceria penuntut dan penduduk bekerjasama menangkap ikan, ia membuktikan jurang antara menara gading dan masyarakat sebenarnya boleh dirapatkan melalui aktiviti santai seperti ini,” kata Ketua Kampung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Buaya Mohd Fauzul Aidil Mohd Roseli.

Mohd Fauzul Aidil berkata, program dirangka untuk memberi pendedahan realiti kehidupan kepada mahasiswa.

“Kami tidak mahu mereka sekadar datang sebagai pelancong. Sebab itu kita gunakan konsep anak angkat.

“Penuntut tidur di rumah penduduk, makan semeja dengan keluarga angkat dan belajar adat resam setempat. Ini adalah sekolah kehidupan yang sebenar buat mereka,” katanya.

Tambahnya, program itu turut mendapat kerjasama agensi seperti Jabatan Penerangan Hulu Selangor, Nadi Sungai Buaya, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pertubuhan Nona Wawasan serta Masjid Ar-Rahmah.

Memasuki hari kedua, semangat mahasiswa tidak luntur. Jika hari pertama mereka ‘berperang’ dengan selut, hari kedua menyaksikan mereka berperang dengan habuk dan cat.

Aktiviti Gotong-Royong Perdana menyaksikan bangunan kayu usang kembali ceria.

Ada yang gigih merombak dinding lama, ada yang tekun menanam anak pokok untuk menghijaukan kawasan dan tidak kurang yang mengecat papan tanda kampung.

Selain aktiviti fizikal, pengisian rohani tidak dilupakan.

Forum bertajuk ‘Rasulullah SAW sebagai Sumber Motivasi Kehidupan’ yang diadakan di masjid tempatan menjadi platform untuk mahasiswa dan penduduk bermuhasabah diri.

Malam rewang pula menjadi kemuncak ukhuwah apabila mahasiswa bekerjasama dengan orang kampung menyiapkan hidangan kenduri untuk makan malam bersama.

Program SULAM ini membuktikan bahawa mahasiswa hari ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi mempunyai jiwa besar untuk berbakti.

Kepulangan mereka ke kampus bukan sahaja berkisarkan nota kuliah yang penuh, tetapi memori indah dan ukhuwah yang akan segar selamanya di Kampung Sungai Buaya.

INFO

Nama: SULAM-JSKP@COMMUNITY

Lokasi: Kampung Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Peserta: Mahasiswa Fakulti Ekologi UPM & Penduduk Kampung.

Konsep: Anak Angkat & Khidmat Komuniti.

Antara Aktiviti: Menangkap ikan, rewang, gotong-royong perdana, tanam pokok

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top