nurul_husna@mediaprima.com.my
Satu kajian diterbitkan oleh ‘American College of Pediatrician’ pada Februari 2021 mendapati, amalan makan bersama keluarga memiliki manfaat besar kepada seisi keluarga.
Malah, dalam satu komponen yang dibincangkan oleh penyelidik, mereka mendapati, remaja yang memiliki rutin makan bersama keluarga juga kurang terbabit dengan dadah.
Ia berlainan dengan remaja yang tidak memiliki rutin itu yang mana mereka berisiko empat kali ganda terdedah untuk terbabit dengan dadah.
Menurut kaunselor berdaftar yang juga Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, walaupun ia amalan sederhana dan dianggap konservatif, namun manfaatnya besar terutama dalam ekosistem keluarga.
Kata Siti Fatimah, waktu makan bersama keluarga boleh dijadikan satu daripada ruang untuk membolehkan baik ibu bapa dan anak, saling berkomunikasi dalam keadaan baik.
“Zaman dahulu, ketika waktu makan, ibu bapa memastikan anak berada di meja makan.
“Banyak nilai murni dapat dipupuk hanya menerusi perbualan di meja makan. Amalan ini penting dan masih perlu diamalkan oleh masyarakat zaman ini bagi membentuk keharmonian dalam hubungan keluarga.
“Hubungan kekeluargaan dapat dieratkan apabila makan bersama dan berbual. Sedar atau tidak, meja makan ialah tempat semula jadi untuk berkongsi pengalaman harian antara ibu bapa dan anak-anak.
“Ia mewujudkan rasa kebersamaan dan kasih sayang dalam keluarga. Ia terbukti menerusi beberapa kajian bahawa keluarga yang sering makan bersama, cenderung mempunyai hubungan yang lebih rapat serta terbuka,” katanya.
Tambahnya, perbualan di meja makan memberi peluang kepada anak-anak untuk belajar cara berkomunikasi dengan lebih baik.
“Kanak-kanak yang makan bersama dan mengambil bahagian dalam perbualan keluarga akan belajar mendengar pendapat orang lain, malah tahu menyatakan pandangan mereka.
“Kemahiran komunikasi anak akan berkembang seiring dengan keyakinan diri selain kemahiran berinteraksi menjadi lebih positif.
“Bagi ibu bapa pula, mereka lebih mudah memahami anak kerana menerusi perbualan santai ketika makan, ibu bapa boleh mengesan perubahan emosi atau tingkah laku anak lebih awal.
“Mereka juga boleh memberi sokongan, nasihat atau bimbingan apabila diperlukan. Anak juga tidak berasa kesunyian dan tertekan kerana mereka ada ruang untuk meluahkan isi hati ketika perbualan di meja makan,” katanya.
Melalui perkembangan sihat pada emosi dan psikologi kanak-kanak serta golongan dewasa, kesan kepada kesihatan juga dapat dilihat.
Siti Fatimah berkata, anak yang menikmati keseronokan dan suasana makan santai lebih memiliki tabiat makan daripada sumber makanan yang sihat.
“Ini antara masalah kebanyakan keluarga zaman sekarang, amalan yang menjadi kelaziman keluarga suatu ketika dahulu tidak lagi dilakukan.
“Amalan makan bersama keluarga semakin berkurangan dalam kalangan generasi sekarang dan ia berlaku kononnya kerana perubahan gaya hidup moden yang sibuk.
“Ramai ibu bapa bekerja sehingga lewat petang malah hingga ke malam. Manakala anak-anak pula dengan jadual sekolah, tuisyen dan aktiviti kokurikulum padat. Akibatnya, sukar mencari masa yang sesuai untuk semua ahli keluarga makan bersama.
“Pengaruh teknologi dan gajet juga menyebabkan interaksi bersemuka semakin kurang malah generasi muda kini lebih memilih untuk makan sambil menonton televisyen atau ‘melayan’ gajet masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, perubahan struktur keluarga dan gaya hidup makan luar juga sudah menjadi trend keluarga zaman ini.
Katanya, saiz keluarga yang semakin mengecil juga menyebabkan ahli keluarga lebih selesa makan mengikut keselesaan masing-masing.
“Pada masa sama, akses kepada makanan juga semakin mudah seperti makanan segera dan perkhidmatan penghantaran makanan. Ia menjadikan budaya makan bersama keluarga bukan lagi keutamaan,” katanya.
Beliau menyarankan ibu bapa supaya menghidupkan kembali amalan makan bersama sebagai rutin untuk berkumpul dan berinteraksi secara mesra tanpa gangguan televisyen, telefon bimbit, gajet dan sebagainya.
“Ibu bapa digalakkan memulakan perbualan dengan topik ringan dan positif bagi mewujudkan suasana lebih ceria serta terbuka di meja makan.
“Anak-anak wajar diberi peluang untuk berkongsi cerita atau pandangan mereka supaya mereka dapat meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi.
“Ibu bapa juga perlu mendengar dengan penuh perhatian dan memberi reaksi yang membina agar anak berasa dihargai serta disayangi.
“Amalan berbual seperti ini dapat mengeratkan kasih sayang keluarga, malah membantu membentuk personaliti anak yang sopan, berani menyuarakan pendapat dan menghormati orang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




