am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Nine Flix yang juga produk terbaharu keluaran United Nine Creative (UNC) menawarkan era baharu penstriman dengan berasaskan teknologi ‘blockchain’ pertama di Asia yang dibangunkan khusus untuk industri kreatif.
Pengasas dan Pengarah Urusan UNC Sdn Bhd, Datuk Mohd Rusdi Shair berkata, melalui Nine Flix, penggiat seni dapat melindungi hak cipta, menjejak royalti secara automatik dan telus serta menikmati peluang pendapatan baharu dalam ekosistem kreatif berintegriti tinggi.
“Sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang, UNC merancang untuk menubuhkan Akademi Kreatif Digital Nine Flix yang akan berfungsi sebagai pusat latihan dan pembangunan bakat baharu dalam bidang penerbitan digital, penulisan skrip serta pengurusan hak cipta menggunakan teknologi blockchain.
“Pihak kami juga akan melancarkan aplikasi mudah alih Nine Flix menjelang suku pertama tahun depan bagi memudahkan karyawan memuat naik karya, menjejak prestasi tontonan dan berinteraksi terus dengan peminat.
“Selain itu, kami juga akan membangunkan pasaran serantau yang membabitkan kolaborasi bersama rakan kongsi dari Indonesia, Thailand dan Singapura bagi mewujudkan Asian Creative Blockchain Network (ACBN) iaitu satu rangkaian yang menghubungkan seluruh pemain industri kreatif Asia Tenggara,” katanya ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) UNC bersama MBP Solutions Sdn Bhd kelmarin.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, TFP Solutions Bhd, Khairuddin Khalid dan Pengarah Bisnes Strategik, TFP Solutions Bhd, Sazali Shahid.
Acara dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan iaitu Linda Hashim, Rashdan Baba, Aan (Ways), artis baharu, Eryn Gani dan ramai lagi.
Mengulas lanjut, kata Mohd Rusdi, MoU itu bagi memperkukuh kolaborasi strategik dalam pembangunan serta pemodenan industri kreatif negara melalui transformasi digital.
Katanya, kerjasama itu untuk memberi ruang lebih luas kepada karyawan industri kreatif termasuk pengarah filem dan drama, penulis skrip, pencipta lagu, juruvideo, pelukis batik, pelukis potret serta penggiat seni lain untuk memperkasa hasil karya dan perniagaan mereka menerusi sistem digital yang inovatif dan berdaya saing global.
“MoU ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UNC untuk membina jambatan antara dunia kreatif dan teknologi digital.
“Kami mahu melihat setiap karyawan diiktiraf dan menikmati hasil usaha mereka dengan lebih adil dan sistematik melalui Nine Flix.
“Inisiatif ini juga menyokong hasrat kerajaan dalam mempromosikan ekonomi digital dan memperkukuh keusahawanan kreatif, selaras dengan agenda Malaysia menuju status negara digital sepenuhnya menjelang 2030,” katanya.
Pada masa sama, kata Mohd Rusdi, melalui MoU itu, MBP Solution Sdn Bhd turut menunjukkan minat untuk membekalkan produk dan perkhidmatan Fintech mudah alih, dompet digital dan sistem sokongan pembayaran pintar yang dapat digunakan ahli Nine Flix.
“Langkah ini dijangka membuka lembaran baharu dalam cara penggiat seni menerima bayaran, mengurus royalti dan menjana keuntungan secara langsung daripada pengguna dan peminat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




