lizamridzuan@hmetro.com.my
Meskipun hanya akan dilancarkan secara rasmi pada Mac nanti, Nissan Serena e-POWER Serba Baharu kini sudah menerima lebih 400 tempahan di dalam pasaran tempatan.
Menjelang pelancarannya, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengambil langkah awal dengan mengadakan sesi pandu uji media ke Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Vroom turut serta dan peluang ini adalah tempoh terbaik bagi menguji tahap keselesaan serta prestasi sistem e-POWER yang kini menjadi nadi ke arah elektrifikasi Nissan di Malaysia.
Melihat kepada rekaan, Serena e-POWER generasi keenam tampil lebih moden dan futuristik dengan imej kenderaan pelbagai guna (MPV) keluarga yang lebih premium.
Bahagian hadapan menonjol menerusi gril V-Motion terkini, dipadankan dengan lampu utama triple-projector serta lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED.
Bampar hadapan turut menampilkan elemen aerodinamik seperti ‘air curtains’ yang membantu meningkatkan kestabilan, di samping menyumbang kepada kecekapan pemanduan.
Dari pandangan sisi ia dengan tiang lebih langsing dan tingkap besar untuk penglihatan keluar yang lebih baik bagi semua barisan serta didatangkan dengan rim aloi bersaiz 16 inci.
Bahagian belakang pula diserikan lampu LED berbentuk boomerang yang dihubungkan kemasan krom, lengkap dengan lencana ‘Serena’ pada pintu belakang yang kekal boleh dibuka menerusi dua ketetapan.
Masuk ke kabin, suasana lebih berteknologi tinggi menerusi dua skrin 12.3 inci yang menjadi tumpuan utama pada papan pemuka.
Kawalan mod pemanduan dan penyaman udara dipermudah menerusi panel sentuh di konsol tengah, manakala pemilihan gear menggunakan Electronic Shift Selector berbentuk butang.
Praktikaliti kekal menjadi kekuatan, dengan 13 konfigurasi tempat duduk serta ciri laluan mudah dalam kabin, kerusi kapten gelongsor dua hala dan pintu gelangsar bebas tangan.
Untuk prestasi, Serena e-POWER digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 163PS dan 315Nm, manakala enjin petrol 1.4 liter 3-silinder bertindak sebagai penjana kuasa tanpa memerlukan pengecasan luaran.
Sepanjang memulakan perjalanan, penulis segera merasai karakter e-POWER yang lebih hampir kepada EV, dengan penghantaran kuasa yang linear serta tarikan awal yang spontan ketika mula bergerak, khususnya dalam trafik perlahan dan situasi berhenti-gerak.
Di lebuh raya pula, pemanduan pada kelajuan yang tinggi terasa stabil dan tenang, dengan tahap bunyi enjin serta angin yang terkawal, sekali gus menjadikan suasana kabin lebih santai untuk perjalanan jarak jauh.
Ketika memotong, respons motor elektrik memberi keyakinan tambahan kerana kuasa hadir secara serta-merta tanpa memerlukan enjin bekerja keras pada rpm tinggi, manakala brek pula ditala lebih halus untuk nyahpecutan yang lebih lancar dan selesa.
Dari sudut bantuan pemandu, sistem Nissan ProPILOT serta kamera 360 darjah membantu mengurangkan beban pemanduan dalam trafik dan meningkatkan keyakinan pemandu, terutama bagi sebuah MPV keluarga yang besar.
Dijadualkan dilancarkan pada Mac 2026 dengan anggaran harga RM160,000 hingga RM180,000 dan ia adalah pemasangan tempatan (CKD) dan secara keseluruhannya, Nissan Serena e-POWER Serba Baharu dilihat berpotensi menetapkan penanda aras baharu MPV tempatan melalui gabungan keselesaan, teknologi dan elektrifikasi yang lebih praktikal.
Kebanyakan pesaingnya pula adalah daripada kategori import terpakai (recond), maka model ini dilihat mempunyai kelebihan tersendiri terutama daripada segi waranti dan perkhidmatan selepas jualan yang lebih stabil untuk kelegaan minda buat pembeli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




