
Noa Lang mengalami kecederaan serius dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Foto Agensi
PENYERANG Galatasaray, Noa Lang berdepan detik cemas selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian jari tangan ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Anfield, awal pagi Khamis.
Pemain antarabangsa Belanda itu dilaporkan mengalami kecederaan selepas ibu jarinya tersepit pada celah papan iklan di tepi padang ketika pasukannya tewas 0-4 kepada The Reds.
Ketua jurulatih Galatasaray, Okan Buruk mengesahkan Lang telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kecederaan serius itu berkemungkinan memerlukan pembedahan segera.
“Dia dibawa ke hospital sekarang kerana terdapat masalah serius pada jarinya. Pasukan perubatan bertindak pantas membawanya ke sana. Jika ada keperluan untuk melakukan pembedahan segera, keputusan akan dibuat di sana,” kata Buruk selepas perlawanan.
Insiden tersebut berlaku pada minit ke-75 apabila Lang cuba bersaing dengan pemain tengah Liverpool, Curtis Jones untuk mendapatkan bola sebelum dia hilang imbangan dan terjatuh ke arah papan iklan.
Dia dilihat mengerang kesakitan dengan darah yang mengalir keluar daripada luka tersebut.
Beberapa pemain Liverpool turut dilihat menghampiri untuk menenangkan Lang sebelum dia diusung keluar oleh pasukan perubatan.
Permainan terpaksa dihentikan seketika bagi membolehkan rawatan kecemasan diberikan di tepi padang.
Dalam aksi berkenaan, Liverpool mengesahkan slot ke peringkat suku akhir dengan kemenangan agregat 4-1 selepas mendominasi perlawanan di laman sendiri itu menerusi kemenangan empat gol tanpa balas.
Ringkasan AI
- Penyerang Galatasaray, Noa Lang mengalami kecederaan serius pada jari tangan ketika bermain menentang Liverpool
- Kecederaan berlaku selepas ibu jarinya tersepit pada celah papan iklan
- Lang terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan
- Kecederaan tersebut mungkin memerlukan pembedahan segera
- Insiden ini berlaku ketika Galatasaray tewas 0-4 kepada Liverpool


