Noki banyak belajar melalui kehidupan di jalanan

Noki banyak belajar melalui kehidupan di jalanan

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pernah memberontak sewaktu zaman sekolah, penyanyi dan pelakon Noki, 31, kesal hanya merasai nikmat bergelar pelajar sehingga tingkatan dua dan terlepas banyak momen indah persekolahan.

Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji berkata ada sebuah insiden berlaku ketika dia berada di sekolah rendah yang menjadi puncanya berubah menjadi seorang pelajar suka memberontak.

“Saya mula memberontak selepas pernah dituduh atas kesalahan yang bukan saya buat. Kejadian itu berlaku ketika darjah enam, ada sebuah radio rosak bukan sebab saya tetapi cikgu menuduh saya.

“Sejak insiden itu, saya mula memberontak. Masuk sekolah menengah, saya dah jadi orang lain. Saya nakal, memberontak, melawan cikgu, dan banyak lagi hal lain saya buat.

“Ini memang cerita betul sebagai perkongsian. Bukan untuk dibanggakan tapi untuk pengajaran,” katanya ditemui pada sesi fotografi drama Dorm 403, di Balai Berita Bangsar, di sini, semalam.

Paling dikesalkan Noki adalah ‘keciciran’ nikmat persekolahan selepas cuma bertahan dalam alam persekolahan sehingga tingkatan dua. Momen meraikan tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun dia terlepas.

“Banyak hal yang saya terlepas contohnya sebagai pelajar SPM, bila tamat sekolah sahaja mereka akan tanda tangan pada baju masing-masing. Saya tak rasai semua itu. Saya rasa menyesal.

“Saya cuma miliki sijil UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) sahaja, jadi saya banyak belajar melalui kehidupan di jalanan atau ‘street education.’

“Tapi saya tak cakap yang pelajaran itu tidak penting, kita tetap kena belajar menimba ilmu. Dalam Islam pun pelajaran adalah dituntut,” katanya.

Anggota K-Clique itu juga mendedahkan lebih memilih untuk ‘merempat’ selepas tidak bersekolah. Dia kesal apabila teringat betapa keputusannya ketika itu mengecewakan ibu bapanya.

“Ibu bapa mana tak marah bila ada anak yang tidak ke sekolah. Tapi ketika itu saya masih muda. Saya nak rasa hidup sendiri, tak nak balik rumah, tidur dekat CC (cyber cafe), minta makanan di kedai makan.

“Saya cerita ini bukan untuk dibanggakan tetapi untuk kita ambil pengajaran. Saya berubah adalah kerana faktor umur dan kehidupan yang saya lalui,” katanya.

Noki bakal terajui drama Dorm 403 arahan Raja Mukhriz yang turut menampilkan Zairi Aziz, Muaz Zabir, Nik Rifaie, Gbril, Evertts Gomes, Dynas Mokhtar dan Puteri Aleeya untuk slot Lestary di TV3.

Drama berkenaan bakal menyingkap realiti hitam di sebalik dunia pelajar asrama mengenai cinta, dendam, pengkhianatan dan rahsia yang meragut nyawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top