puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di sebalik kesibukan memenuhi jadual seni yang padat, pelakon dan penyanyi, Noki, tidak menafikan wujud rasa rindu yang mendalam untuk kembali beraksi di atas pentas bersama ahli kumpulan K-Clique yang lain.
Menurut Noki atau pemilik nama Ahmad Ikhwan Aji, 32, walaupun kini sering bergerak secara solo, kepuasan beraksi bersama kumpulan K-Clique tetap tiada tandingannya.
“Mestilah rindu. Kepuasan beraksi dengan K-Clique sangat berbeza berbanding saya seorang diri di atas pentas. Apabila melihat wajah rakan-rakan K-Clique di atas pentas, perasaannya lain dan lebih menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi filem Tiket Sehala di Balai Berita, Bangsar, di sini.
Dalam pada itu, Noki mendedahkan jadual kerjanya yang agak padat sejak awal tahun lalu berikutan membuatkan dia ingin berehat dari berlakon selama sebulan.
“Kebetulan dari awal tahun lalu, seawal pagi lagi saya sudah terlibat dengan penggambaran demi penggambaran. Waktu rehat paling lama pun kiranya hanya dua minggu, selepas itu bersambung-sambung semula.
“Buat masa sekarang, saya mahu berehat seketika. Saya rasa sudah terlalu banyak bekerja dan mahu mengambil masa untuk diri sendiri dengan berehat sekurang-kurangnya sebulan lebih,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam perkembangan lain, Noki yang bakal menerajui filem Tiket Sehala arahan Rahila Ali, terbitan produksi Key Billions Sdn Bhd, adalah sebuah karya yang diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku ke atas mangsa penipuan pekerjaan di luar negara.
Selain Noki, Tiket Sehala yang bergenre ‘survival thriller’ ini turut membariskan barisan pelakon popular lain antaranya Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani dan Sharifah Sakinah.
Tiket Sehala yang menjalani penggambaran sepanjang November sehingga Disember lalu di Malaysia serta Korea Selatan dijadualkan bakal menemui penonton di pawagam bermula 6 Ogos depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




