Doha: Dalam dunia lelongan barangan mewah, kita sering mendengar tentang jam tangan atau lukisan vintaj yang mencecah harga jutaan ringgit. Namun, satu rekod dunia yang tercipta hampir dua dekad lalu membuktikan bahawa deretan angka digital juga mampu memiliki nilai yang tidak masuk akal.
Sejarah tercatat pada 23 Mei 2006 di ibu negara Qatar, apabila seorang pembeli misteri sanggup membelanjakan 10 juta Riyal Qatar (kira-kira RM12.15 juta) hanya untuk memiliki satu nombor telefon bimbit, menurut Rekod Dunia Guinness (GWR)
Transaksi luar biasa ini berlaku dalam satu majlis lelongan amal yang dianjurkan oleh penyedia telekomunikasi utama negara itu, Qtel (kini dikenali sebagai Ooredoo QSC).
Detik ikonik itu menyaksikan tukul lelongan diketuk buat kali terakhir bagi nombor telefon “666-6666”. Angka mudah diingati itu bukan sahaja menjadi simbol status, malah meletakkan pemiliknya sebagai pemegang rekod dunia bagi pembelian nombor telefon termahal dalam sejarah.
Kisah pelik tapi benar ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia mula dipaparkan dalam naskhah GWR edisi 2006.
Jika dinilai pada waktu itu, kos pemilikan nombor itu bersamaan AS$2.75 juta (kira-kira RM10 juta). Nilai ini dianggap melampau bagi sekadar identiti panggilan, namun ia mencerminkan kuasa beli luar biasa serta minat mendalam terhadap barangan eksklusif di rantau Timur Tengah.
Menurut pengerusi gergasi telekomunikasi Qatar itu, bidaan tinggi itu bukan sekadar untuk kemegahan peribadi. Kesemua hasil daripada lelongan amal itu disalurkan kembali kepada komuniti setempat bagi tujuan kebajikan dan pembangunan sosial di negara berkenaan.
Sehingga hari ini, identiti pembeli bertuah itu kekal rahsia dan tidak didedahkan kepada umum.
© New Straits Times Press (M) Bhd




