Noor Hisham jawab mengapa Santhara dibenar kuarantin di rumah

PETALING JAYA: Kementerian kesihatan menegaskan bahawa Edmund Santhara kembali dari “negara berisiko rendah” ketika menjawab isu berkait kebenaran yang diberikan kepada menteri wilayah persekutuan itu untuk menjalani kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut memberitahu Malaysiakini bahawa Santhara mempunyai “rumah yang sesuai”.

Noor Hisham berkata kementerian biasanya akan melakukan penilaian risiko dan mempertimbangkan “semua faktor dan (tempat) kuarantin sebelum memberikan cadangan.”

“Di antara pertimbangannya (termasuk) New Zealand (adalah) negara berisiko rendah (dan) beliau memiliki rumah yang sesuai untuk dikuarantin,” kata Noor Hisham kepada portal itu.

Beliau diminta mengulas kritikan seorang juruterbang yang merayu untuk dikuarantin di rumah supaya dapat menjaga ibunya yang menghidap kanser.

S Mani Vannan, juruterbang Singapore Airlines, berkata penolakan itu sangat mengecewakan memandangkan dia meminta pengecualian sejak awal bulan lalu dan sudah melakukan tujuh ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19 selain mengambil suntikan vaksin di republik itu.

Santhara baru-baru ini dibenarkan menjalani kuarantin di rumah setelah bercuti selama 55 hari di New Zealand. Beliau melakukan perjalanan yang menimbulkan kontroversial ke New Zealand untuk melihat keluarganya ketika sekatan perjalanan Covid-19 berkuat kuasa.

Dalam e-melnya kepada Noor Hisham, Mani Vannan mempersoalkan bagaimana seseorang dapat mempercayainya apabila dia “mempertaruhkan nyawa rakyat dengan membiarkan Santhara melakukan kuarantin di rumah” selain menyoal sama ada Santhara mengatasi undang-undang.

Beliau turut menuduh Noor Hisham mengamalkan sikap pilih kasih.

Mani Vannan mengulas jawapan diberikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) kementerian terhadap permohonannya untuk menjalani kuarantin di rumah pada 6 Feb lalu.

CPRC, dalam surat penolakannya pada 22 Feb menyatakan: “Syarat untuk kuarantin adalah wajib bagi semua rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang pulang dari luar negeri walaupun mereka membawa sijil vaksinasi Covid-19 kerana vaksin masih baru.